‘Kita juga ada pasukan yang bagus, mampu tundukkan Vietnam’

‘Kita juga ada pasukan yang bagus, mampu tundukkan Vietnam’
‘Kita juga ada pasukan yang bagus, mampu tundukkan Vietnam’

Nooa Laine – Foto: Malaysia NT

TONGGAK tengah Harimau Malaya, Nooa Laine menyifatkan skuad kebangsaan tetap memiliki kekuatan tersendiri meskipun bakal berdepan cabaran getir menentang Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa.

Walaupun tugasan di Stadium Thien Truong itu hanya pelengkap jadual, pemain warisan Finland-Malaysia itu menegaskan fokus utama pasukan adalah untuk membawa pulang kemenangan.

“Sudah tentu, setiap perlawanan yang saya lalui, saya mahu menang. Saya jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sangat sengit di tempat lawan menentang Vietnam.

“Namun, saya fikir kita juga mempunyai pasukan yang sangat bagus. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi saya percaya kami mampu meraih kemenangan,” katanya.

Bagi Nooa, menyarung jersi kebangsaan adalah satu tanggungjawab besar yang tidak dipandang ringan malah dia bertekad untuk memberikan persembahan terbaik demi lencana di dada.

“Setiap kali bermain untuk pasukan kebangsaan, ia adalah satu penghormatan yang sangat besar. Anda pasti mahu menunjukkan potensi terbaik dan bermain demi negara,” ujarnya.

Sebelum ini, arena bola sepak negara dikejutkan dengan berita duka apabila impian Malaysia untuk layak ke pentas Piala Asia berkecai.

Ia susulan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya ketika bertemu Nepal dan Vietnam sebelum ini.

Hukuman berat itu dikenakan selepas skuad negara didapati menurunkan pemain yang tidak layak dalam perlawanan berkenaan susulan hukuman FIFA sebelum ini.

Keputusan itu secara tidak langsung menyaksikan Vietnam mengambil alih kedudukan pertama Kumpulan F, sekali gus mengesahkan slot automatik ke Piala Asia 2027.

Aksi menentang Vietnam pada Selasa ini kini dilihat lebih kepada misi memulihkan maruah pasukan serta menutup kempen kelayakan dengan nota positif.

Ringkasan AI

  • Nooa Laine yakin Harimau Malaya kuat untuk cabaran lawan Vietnam.
  • Fokus utama pasukan adalah untuk menang walaupun perlawanan hanya pelengkap jadual.
  • Menentang Vietnam dijangka sengit tetapi Nooa percaya pasukan boleh menang.
  • Menyarung jersi kebangsaan adalah tanggungjawab besar bagi Nooa.
  • Dua kemenangan Malaysia dibatalkan kerana pemain tidak layak, memberi tempat pertama kepada Vietnam.
Scroll to Top