Cuaca panas: Air terjun ada kemudahan kolam mandi, sungai jadi pilihan pengunjung

Cuaca panas: Air terjun ada kemudahan kolam mandi, sungai jadi pilihan pengunjung

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Keadaan cuaca panas membahang mendorong orang ramai memilih pusat rekreasi yang mempunyai kemudahan kolam mandi dan sungai sebagai tempat untuk beriadah bersama keluarga.

Pengunjung Taman Pertanian Sekayu (TPS) Umaimah Rosli, 37, dari Kuala Terengganu berkata, dia mengunjungi TPS bukan hanya untuk menghabiskan cuti namun dalam masa sama membawa anaknya seramai sembilan orang untuk mandi-manda di kolam yang disediakan di kawasan itu.

Menurutnya, dia memilih untuk ke pusat rekreasi itu kerana terdapat kemudahan kolam mandi yang boleh menyegarkan badan terutama pada ketika cuaca panas seperti sekarang selain pusat rekreasi ini juga terkenal dengan air terjunnya yang indah.

Katanya, walaupun tidak kerap bertandang kerana perlu menempuh perjalanan lebih 100 kilometer pergi dan balik ke lokasi itu namun ia disifatkan pilihan tepat ketika berdepan cuaca panas membahang.

“Kalau nak beriadah di tepi pantai sudah tentu tidak ideal kerana cuaca sekarang tidak mengizinkan kerana terlalu panas.

“Justeru, saya memilih lokasi jauh di pedalaman seperti di TPS yang dipenuhi pepohon yang menghijau dan menyejukkan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Ida Suriani Mokhtar, 38, dari daerah ini berkata, dia juga memilih TPS kerana terdapat kemudahan kolam untuk mandi-manda.

“Musim panas seperti sekarang menjadikan lokasi selain TPS, Pusat Rekreasi Belukar Bukit (PRBB), di daerah Hulu Terengganu ini sebagai salah satu lokasi tumpuan untuk beriadah.

“TPS sememangnya terkenal dengan air terjunnya dan terbaharu terdapat pula kolam mandi sebagai salah satu kemudahan buat pengunjung,” katanya.

Menurutnya, manakala di PRBB yang terletak tidak jauh dari sini juga menyajikan panorama yang indah dengan sungai dan air terjunnya yang jernih untuk aktiviti mandi-manda.

“Lokasi air terjun dan anak sungai dilihat menjadi tumpuan pengunjung buat masa ini kerana berkemungkinan ingin menyejukkan badan,” katanya.

Menurutnya, namun dalam keseronokan bermandi-manda, keselamatan juga harus diberi keutamaan kerana walaupun keadaan paras sungai yang cetek bagaimanapun ia berisiko buat ahli keluarga yang masih kecil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top