Liek Hou sambar dua gelaran

Liek Hou sambar dua gelaran

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou membuktikan kehebatannya apabila merangkul dua gelaran pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol, semalam sekali gus mempamerkan dominasi berterusan di pentas antarabangsa.

Lebih manis, kejayaan itu hadir menerusi gandingan baharu bersama pemain Brazil, Yuki Rodrigues apabila mereka muncul juara beregu lelaki SU5 (kecacatan anggota badan bahagian atas) slepas menewaskan gandingan Taiwan, Fang Jen-yu-Gui Yu-pu 21-11, 21-15 dalam tempoh hanya 20 minit.

Kemenangan itu melengkapkan kejayaan berganda buat Liek Hou selepas turut mempertahankan gelaran perseorangan lelaki apabila menundukkan Jen-yu 21-19, 21-16 dalam satu lagi aksi final.

Pemain berusia 37 tahun itu sebelum ini bergandingan dengan rakan senegara, Mohd Fareez Anuar untuk menjuarai acara beregu tahun lalu namun terpaksa mencari pasangan baharu susulan perubahan klasifikasi SU5 yang menyaksikan Fareez tidak lagi layak bertanding.

Rodrigues yang berusia 24 tahun pula bukan nama asing buat Liek Hou kerana mereka pernah bertemu sebagai lawan, termasuk pada Kejohanan Antarabangsa Bahrain 2023 yang menyaksikan pemain Malaysia itu muncul pemenang.

Kejohanan di Sepanyol itu juga menjadi penampilan pertama Liek Hou selepas mencipta sejarah dengan meraih gelaran kesembilan Kejohanan Dunia di Bahrain pada Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top