Penyanyi Linda Rafar tidak dapat menahan sebak apabila anaknya, Syed Rezaqib Syed Kamaruzaman, mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Peroleh 9A dalam SPM

Memetik laporan Berita Harian, menurut Linda, kejayaan anaknya yang mesra disapa Aqiib itu amat membanggakan, apatah lagi dia menyaksikan sendiri usaha serta pengorbanan yang dilakukan sepanjang tempoh pembelajaran.
“Saya sedih, sebak dan bangga,” kata Linda, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kunci kejayaan, Linda menjelaskan dia tidak mengambil pendekatan terlalu menekan dalam pelajaran, sebaliknya memberi ruang kepada anaknya untuk belajar mengikut keselesaan sendiri. Namun begitu, apa yang paling mengagumkannya ialah tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan Aqiib.
“Saya beri ruang, tak terlalu ‘push’ sangat. Tetapi, Aqiib kuat solat dan dia akan khatam al-Quran setiap bulan,” katanya.
Tambahnya lagi, perubahan ketara dapat dilihat terutama dalam tempoh tiga bulan terakhir sebelum peperiksaan, apabila Aqiib mula memberi fokus sepenuhnya terhadap perkara yang lebih bermanfaat.
“Pada awalnya, dia belajar macam biasa. Tetapi, tiga bulan terakhir, dia hentikan semua aktiviti yang tidak bermanfaat dan fokus kepada solat, mengaji dan tuisyen,” ujarnya.
Dalam masa sama, Linda turut berkongsi bahawa dia telah berjanji untuk menghadiahkan sebuah kereta kepada anaknya sebagai ganjaran atas usaha tersebut.
Screenshot
“Memang dah janji hendak bagi hadiah kereta, insya-Allah,” kongsinya.
Berkongsi nasihat kepada ibu bapa lain, Linda menegaskan betapa pentingnya memberi ruang kepada anak-anak tanpa tekanan berlebihan, di samping sentiasa mendoakan kejayaan mereka.
“Beri masa, jangan terlalu ‘push’, tetapi kena sentiasa doa dan cakap baik-baik,” tambahnya lagi.
Kejayaan itu, menurut Linda, turut menyuntik semangat Aqiib untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dengan cita-cita menjadi seorang doktor.
Artikel lain: BM & Sejarah jadi fokus, KPM kaji benarkan pelajar ambil 2 subjek sahaja dalam SPM
Untuk info, keputusan SPM 2025 diumumkan pada 31 Mac 2026 (Selasa), mulai jam 10 pagi, dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, menunjukkan peningkatan prestasi berbanding 4.49 pada tahun 2024.
Seramai 366,435 calon (94.29%) layak sijil, dan semakan boleh dibuat secara dalam talian.
Sumber: Berita Harian (Fatin Farhana Ariffin)




