
Yair Netanyahu. Foto Agensi
ISTANBUL – Bekas penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Steve Bannon menyeru agar Yair Netanyahu, anak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, diusir dari AS dan dihantar bertempur di barisan hadapan dalam konflik berterusan antara AS dan Israel terhadap Iran, lapor Anadolu Anjasi.
Bercakap di platform penstriman berhaluan kanan ‘Real America’s Voice’, Bannon mempertikaikan mengapa Yair sedang bercuti di Miami sementara serangan udara bersama AS-Israel terhadap Iran sedang berlangsung.
“Anak Netanyahu di Miami, keluarkan dia esok,” katanya, menyeru Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat untuk bertindak.
“Mana Jabatan Keselamatan Dalam Negeri bila kita perlukan mereka? Hantar dia kembali ke sana, pakai uniform, dan biar dia dalam gelombang pertama,” tambah Bannon.
Bannon turut meluaskan kritikan kepada putera dari negara Teluk yang berpihak kepada Washington, dengan mendakwa mereka juga sepatutnya diusir dari bandar seperti London dan dihantar bertempur di Teluk, selaras kemungkinan operasi darat yang diumumkan oleh AS.
Sehingga kini, baik Yair mahupun abangnya, Avner Netanyahu, masih belum menyelesaikan perkhidmatan tentera wajib Israel walaupun telah mencapai usia yang sepatutnya.
Bannon pernah berkhidmat sebagai penasihat kanan sepanjang penggal pertama Trump dan kekal sebagai suara utama dalam gerakan ‘Make America Great Again’.
Serangan udara AS-Israel ke atas Iran yang bermula 28 Februari telah mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk pemimpin tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.
Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel, Jordan, Iraq, dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kematian, kerosakan infrastruktur, serta mengganggu pasaran global dan penerbangan.-Agensi
Ringkasan AI
- Steve Bannon menggesa Yair Netanyahu diusir dari AS dan dihantar berperang.
- Bannon mempertikaikan Yair bercuti di Miami saat konflik AS-Israel-Iran berlaku.
- Bannon mengkritik putera dari negara Teluk dan mahu mereka dihantar berperang.
- Yair dan abangnya belum menyelesaikan perkhidmatan tentera wajib Israel.
- Serangan udara AS-Israel ke atas Iran menyebabkan lebih 1,340 kematian.



