Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga barangan di pasaran.
Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keadaan harga barangan masih berada pada tahap terkawal dan tiada laporan mengenai kenaikan harga secara mendadak diterima oleh kementerian setakat ini.
“Setakat ini keadaan adalah terkawal. Tidak ada laporan berkenaan kenaikan harga yang mendadak.
“Pihak KPDN sentiasa melakukan libat urus dengan pihak industri dan sekiranya ada keperluan untuk kenaikan harga, mereka perlu berunding terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Khamis.
Foto arkib: Bernama
Sebelum ini, media melaporkan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia menjangkakan harga makanan berpotensi meningkat sehingga 50 peratus berikutan peningkatan kos minyak dan operasi.
Presidennya Datuk Seri Rosli Sulaiman dilaporkan berkata, kenaikan tersebut berpunca daripada peningkatan kos bahan mentah serta barangan asas, selain kos pengangkutan dan penghantaran yang kebanyakannya menggunakan kenderaan diesel.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata KPDN memahami cabaran yang timbul susulan ketidaktentuan geopolitik global dan perkembangan ekonomi dunia, namun kementerian itu akan terus memperketat pemantauan harga di pasaran.
“KPDN sedar dan sentiasa memantau harga setiap hari untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro (Tuty Haryanti Ahmad Rodzi)




