PETALING JAYA: Pihak pengurusan, Stars Powerhouse Entertainment keras menafikan dakwaan bahawa aktres di bawah naungan mereka, Alya Iman merupakan perceraian pasangan selebriti.
Menerusi sebuah kenyataan media, tuduhan yang tular di media sosial sejak semalam itu adalah bersifat palsu dan berunsurkan fitnah selain mampu menjejaskan imej baik aktres berkenaan.
“Stars Powerhouse Entertainment memandang serius penyebaran kenyataan palsu yang mengaitkan artis kami, Alya Iman, dengan isu perceraian pasangan artis yang tular baru-baru ini.
“Tuduhan ini adalah tidak benar, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi,” katanya di Instagram.
Enggan berkompromi dengan perkara itu, pihak pengurusan tersebut nekad untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Hentikan penyebaran serta-merta dan turunkan semua kandungan berkaitan di semua platform,” tegasnya.
Semalam, pasangan selebriti, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Susulan itu, pelbagai spekulasi berbangkit dalam kalangan warganet, termasuk kenyataan seorang individu yang memetik nama Alya Iman dan mendakwa aktres itu menjadi punca keretakan rumah tangga yang terbina sejak lima tahun lalu.



