MHC lantik Kumar perkukuh skuad hoki wanita

MHC lantik Kumar perkukuh skuad hoki wanita

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas penstrukturan semula skuad kebangsaan lelaki sebelum ini, hari ini Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) turut melakukan rombakan dalam struktur kejurulatihan skuad wanita negara dengan melantik CR Kumar sebagai ketua jurulatih baharu bagi memperkukuh pasukan menghadapi cabaran akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pelantikan Kumar yang berasal dari India adalah sebahagian daripada perancangan menyeluruh badan induk itu dalam memastikan pembangunan skuad wanita bergerak lebih tersusun.

Menurutnya, Kumar bukan wajah asing dalam arena hoki wanita negara apabila pernah mengendalikan skuad itu dari 2002 hingga 2006.

“Kumar bukan orang baharu, beliau pernah bersama skuad wanita sebelum ini dan kita yakin pengalaman dimiliki mampu membantu meningkatkan prestasi pasukan,” katanya.

Selain itu, Kumar turut membawa reputasi cemerlang di peringkat pembangunan selepas membimbing skuad remaja lelaki India muncul juara Piala Sultan Johor 2023 dan Piala Remaja Asia 2023, selain menamatkan saingan di tempat keempat Piala Dunia Remaja 2023.

Dalam perkembangan sama, penyandang sebelum ini, Nasihin Nubli Ibrahim tidak digugurkan sebaliknya diberikan peranan baharu untuk mengendalikan skuad remaja wanita negara.

Subahan menjelaskan langkah itu penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan pemain muda dapat diperkasakan sekali gus melahirkan lebih ramai bakat baharu untuk diserap ke skuad senior.

“Nasihin akan memberi tumpuan kepada pembangunan skuad remaja wanita kerana kita mahu pastikan pelapis dibentuk dengan baik dan dia akan bekerjasama dengan Kumar untuk membentuk pasukan negara yang mantap pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan barisan kejurulatihan diberikan kontrak selama dua tahun bagi memberi ruang kepada mereka membentuk pasukan lebih kompetitif.

Mengulas sasaran ditetapkan, Subahan berkata, petunjuk prestasi utama (KPI) bagi skuad wanita akan diumumkan dalam masa terdekat, namun menegaskan fokus utama adalah untuk berada dalam kelompok empat terbaik Asia.

“Sasaran utama kita adalah untuk berada dalam kelompok empat terbaik Asia dan meningkatkan daya saing pasukan di pentas antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, gabungan pengalaman Kumar bersama barisan sokongan sedia ada diyakini mampu memberi nafas baharu kepada skuad wanita negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top