
Hujan lebat disertai angin kencang dan ribut petir mencetuskan huru-hara di wilayah Balochistan serta bandar pelabuhan selatan Karachi
ISLAMABAD – Hujan lebat disertai angin kencang dan ribut petir mencetuskan huru-hara di wilayah Balochistan serta bandar pelabuhan selatan Karachi, mengakibatkan 15 maut dalam tempoh 24 jam terakhir, selain menimbulkan gangguan meluas dan kerosakan infrastruktur, lapor Xinhua.
Di Balochistan, sekurang-kurangnya lapan orang maut dan beberapa yang lain cedera akibat insiden berkaitan hujan selepas hujan lebat melanda lebih daripada 12 daerah di wilayah itu, menurut pegawai Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA) pada Jumaat.
Menurut PDMA, hujan ribut turut merosakkan rumah, infrastruktur dan tanaman, selain menyebabkan kematian ternakan di seluruh wilayah.
Sementara itu, tujuh orang maut akibat renjatan elektrik dan runtuhan dinding semasa hujan lebat di Karachi, menurut pegawai penyelamat tempatan yangf menjelaskan beberapa langkah diambil untuk mengurangkan banjir di jalan raya dan memastikan kelancaran trafik semasa tempoh hujan.
Pesuruhjaya Karachi Syed Hassan Naqvi berkata, kem kecemasan diwujudkan di seluruh bandar berikutan ramalan hujan dengan pihak berkuasa berada pada tahap berjaga-jaga tinggi bagi memastikan tindak balas segera dan membantu penduduk.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Pakistan meramalkan hujan lebat disertai ribut petir di beberapa kawasan negara Asia Selatan itu sehingga 4 April, dengan amaran bahawa hujan lebat boleh mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh dan kerosakan kepada tanaman. – Bernama



