
SC melantik Datuk Manoj Kurup (kanan) sebagai Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan berkuat kuasa 8 April 2026.
SHAH ALAM – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melantik Datuk Manoj Kurup sebagai Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan berkuat kuasa 8 April 2026.
Pengerusinya, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh fungsi penguatkuasaan suruhanjaya berkenaan.
“Pengalaman luas serta kepakaran perundangan yang dimiliki Manoj akan membantu SC terus memastikan integriti pasaran terpelihara di samping melindungi kepentingan pelabur.
“Dalam masa sama, kami turut merakamkan penghargaan kepada bekas Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan SC, Budiman Lutfi Mohamed atas sumbangan dan khidmat beliau kepada syarikat sejak Julai 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Manoj yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum bersara pada 2024 menggantikan Budiman yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya pada 1 April lalu.
Terdahulu, beliau memulakan kerjaya perundangan pada 1990 dan mempunyai pengalaman lebih tiga dekad merangkumi bidang kehakiman serta pendakwaan awam.
Sepanjang tempoh perkhidmatan di AGC, beliau turut memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Ketua Bahagian Rayuan.
Selain itu, beliau juga pernah menganggotai pasukan pendakwaan Malaysia dalam siasatan bersama tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 serta berkhidmat sebagai ahli lembaga Lembaga Lebuhraya Malaysia.
Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang dalam bidang Pendakwaan dari University of Wollongong, Australia serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Polytechnic of Wales, kini dikenali sebagai University of Glamorgan.
Beliau juga merupakan Barrister-at-Law dari Gray’s Inn, London selain memiliki Diploma dalam Mediasi daripada Asian International Arbitration Centre.



