Jualan #JomLokal TikTok Shop melonjak 130 peratus

Jualan #JomLokal TikTok Shop melonjak 130 peratus

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jualan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan di bawah kempen #JomLokal di TikTok Shop mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan melebihi 130 peratus tahun ke tahun sepanjang Ramadan dan Aidilfitri lalu.

Prestasi kukuh itu turut disumbang oleh peningkatan jualan jenama premium di TikTok Shop Mall, sekali gus mencerminkan keyakinan pengguna terhadap platform e-dagang berkenaan.

Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, peningkatan jualan jenama premium membuktikan tahap kepercayaan pengguna yang semakin tinggi terhadap platform itu.

Katanya, momentum positif berkenaan dipacu sokongan bernilai RM20 juta menerusi Pakej Rangsangan #JomLokal Booster, selain pelaburan berterusan dalam aspek keselamatan bagi memastikan pengalaman beli-belah lebih selamat dan dipercayai.

“Keselamatan adalah keutamaan kami, dan TikTok Shop sudah melaburkan hampir AS$1 bilion di peringkat global dalam alat, teknologi dan tenaga kerja bagi melindungi komuniti pembeli, penjual serta pencipta afiliasi,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, antara Januari hingga Jun 2025, platform itu berjaya menolak lebih 70 juta percubaan penyenaraian produk di seluruh dunia dengan kadar penyingkiran proaktif melebihi 99.5 peratus bagi kandungan yang melanggar dasar.

Selain itu, 1.4 juta permohonan akaun penjual turut ditolak kerana tidak memenuhi piawaian ditetapkan, manakala inisiatif #ShopSafe diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran pengguna mengenai amalan beli-belah dalam talian yang selamat.

Dalam pada itu, beliau berkata, PMKS tempatan terus menunjukkan daya tahan kompetitif dengan memanfaatkan platform digital untuk membina komuniti dan mengembangkan perniagaan.

Sejak diperkenalkan pada September 2025, pakej #JomLokal Booster memberi manfaat kepada lebih 5,000 PMKS menerusi pengecualian yuran komisen, selain menganjurkan 14 bengkel yang meningkatkan kemahiran lebih 1,000 usahawan.

Program itu turut menyokong sesi pemadanan perniagaan yang berjaya melahirkan lebih 1,000 pencipta afiliasi bagi mempromosikan produk tempatan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersama Timbalannya, Teo Nie Ching merasmikan majlis anugerah TikTok Shop Raikan Raya di sini, baru-baru ini. Ia mengiktiraf penjual tempatan serta pencipta afiliasi terbaik sepanjang musim perayaan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top