Aaron-Wooi Yik tersingkir, gagal pertahan gelaran Asia

Aaron-Wooi Yik tersingkir, gagal pertahan gelaran Asia

PETALING JAYA: Cabaran Malaysia berakhir dengan tersingkirnya juara bertahan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Ningbo, China, hari ini.

Beregu lelaki No. 2 dunia itu terpaksa akur kepada pasangan No. 22 dunia, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dari Korea Selatan 19-21, 28-26, 13-21 dalam masa 1 jam 23 minit.

Gandingan No. 1 Malaysia itu belum pernah bertemu Min Hyuk-Dong Ju sebelum ini dan kekalahan tersebut menyaksikan mereka kini ketinggalan 0-1 di belakang beregu tersebut.

Aaron-Wooi Yik yang juga merupakan juara bertahan, gagal untuk mengekalkan kemenangan yang dilakar pada edisi lalu setelah tersingkirnya mereka di peringkat lapan terbaik.

Selain Aaron-Wooi Yik, turut gagal mara ke separuh akhir adalah dua lagi wakil Malaysia dalam sektor beregu wanita dan campuran.

Dalam aksi beregu wanita, hajat gandingan No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke separuh akhir tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan tuan rumah yang menghuni ranking No. 9 dunia, Li Yi Jing-Luo Xu Min 13-21, 15-21 dalam masa 41 minit.

Kegagalan Pearly-Thinaah di tangan Yi Jing-Xu Min, membuka laluan kepada beregu China itu memintas wakil negara tersebut dengan rekod pertemuan 2-1.

Turut tersingkir, juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang diaibkan pasangan ke-147 dunia, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong dari Korea Selatan 19-21, 17-21 dalam masa 46 minit.

Tang Jie-Ee Wei yang merupakan beregu No. 4 dunia belum pernah bertemu Jae Hyeon-Ha Jeong yang mendapat jolokan ‘giant killer’ dalam sebarang kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Kegagalan ketiga-tiga beregu negara itu menyaksikan tiada wakil Malaysia yang berjaya meloloskan diri ke separuh akhir, esok. – UTUSAN

Scroll to Top