Krisis bahan api: Pekerja kilang di India buat rusuhan ganas

Krisis bahan api: Pekerja kilang di India buat rusuhan ganas
Krisis bahan api: Pekerja kilang di India buat rusuhan ganas

Bantahan pekerja kilang yang memasuki hari keempat bertukar ganas

NOIDA – Keadaan di kawasan perindustrian Noida, pinggir ibu negara India, menjadi tegang apabila bantahan pekerja kilang yang memasuki hari keempat bertukar ganas, memaksa pihak polis melepaskan gas pemedih mata bagi mengawal situasi.

Bantahan ini dipercayai tercetus susulan peningkatan kos sara hidup global, yang didakwa dipengaruhi oleh gangguan bekalan bahan api akibat konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.

Seorang pekerja, Vinay Mahoti, 30, yang berasal dari Bihar dan bekerja di sebuah syarikat tekstil di Noida, berkata, beliau pada awalnya menyertai protes di dalam kilangnya sebelum turun ke jalan raya bersama pekerja lain.

“Waktu kerja perlu ditetapkan, bayaran kerja lebih masa mesti dibayar, dan syarikat perlu mematuhi garis panduan kerajaan persekutuan,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan memberitahu, tindakan menggunakan kekuatan minimum diambil bagi memastikan ketenteraman awam selepas beberapa insiden keganasan dilaporkan, termasuk kenderaan dibakar dan lontaran batu di beberapa kawasan bandar satelit itu.

Rakaman di lokasi menunjukkan puluhan penunjuk perasaan berarak di jalan raya sambil melaungkan slogan, manakala anggota keselamatan lengkap dengan peralatan anti-rusuhan memantau keadaan.

Terdapat juga visual sebuah kenderaan terbalik yang sedang terbakar serta kumpulan penunjuk perasaan cuba merempuh sekatan jalan raya.

Ahli perundangan negeri Uttar Pradesh, Narendra Kashyap, menggesa para penunjuk perasaan agar berbincang dengan kerajaan bagi menyelesaikan tuntutan mereka secara aman.

Dalam masa sama, pihak polis Gautam Budh Nagar memaklumkan bahawa pegawai kanan polis dan pentadbiran sedang giat berusaha menasihati pekerja supaya mengekalkan keamanan dan tidak bertindak melampau.

 

Scroll to Top