Mahrez sasar JDT jadi 'korban' seterusnya

Mahrez sasar JDT jadi 'korban' seterusnya

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bintang sensasi Riyad Mahrez tampak sudah ‘panaskan enjin’ dan kini memburu satu lagi mangsa kali ini giliran wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Tonggak Al Ahli itu dilihat berada di landasan terbaik apabila menjadi wira pasukan dengan jaringan tunggal pada minit ke-117 ketika menyingkirkan Al Duhail SC di pusingan 16 terbaik malam tadi.

Kini, Mahrez yang juga bekas pemain Manchester City jelas belum puas dan meletakkan sasaran lebih besar menjadikan JDT sebagai ‘korban’ seterusnya dalam perjalanan memburu sejarah.

Aksi suku akhir di Stadium King Abdullah Sport City, Jumaat ini dijangka menjadi pentas terbaik buat pemain Algeria itu sekali lagi mencuri tumpuan dengan skil dan sentuhan berbisa yang dimilikinya.

Mahrez mengakui saingan ACLE bukan gelanggang mudah, namun percaya kelebihan beraksi di laman sendiri mampu memberi suntikan tambahan buat skuad kendalian Matthias Jaissle.

“Kita tahu betapa sukarnya kejohanan ini dan fokus utama kami adalah untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

“Sokongan padu penyokong sangat penting dan kami mahu membalasnya dengan keputusan positif,” katanya yang dilihat semakin berbisa di pentas Asia.

Untuk rekod, misi Al Ahli bukan sekadar menyingkirkan JDT, malah memburu status ‘raja Asia’ dua kali berturut-turut di mana ia sesuatu yang gagal dicapai mana-mana kelab sejak Al-Ittihad FC melakukannya pada 2004 dan 2005.

Sementara itu, kejutan besar turut mewarnai pusingan 16 terbaik malam tadi apabila pasukan gergasi Al Hilal tersingkir selepas tewas 3-4 menerusi penentuan penalti kepada Al Sadd SC dari Qatar, meskipun kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas 120 minit permainan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top