Kerajaan Negeri Selangor menetapkan sasaran minimum 50 peratus penggunaan bas elektrik (EV) bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor menjelang 2028, sebagai langkah memastikan ekosistem mobiliti bersih dicapai sepenuhnya.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han berkata, sasaran itu merupakan fasa penting ke arah peralihan 100 peratus kepada bas elektrik menjelang 2030.
Katanya, ia selaras dengan ketetapan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Mobiliti Bil 1/2026 pada Januari lalu yang mewajibkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merancang peralihan perkhidmatan Bas Smart Selangor daripada enjin diesel kepada EV bermula tahun ini.
“Kerajaan Negeri Selangor komited memacu agenda kelestarian hijau melalui transisi mod pengangkutan awam.
“Sejak inisiatif peralihan kepada bas EV diperkenalkan pada 2024, sebanyak 26 daripada 156 bas diesel atau 17 peratus telah beralih kepada bas elektrik.
“Lima PBT utama telah mendahului inisiatif ini iaitu Majlis Bandaraya Diraja Klang: 1 bas (1 laluan), Majlis Bandaraya Shah Alam: 4 bas (1 laluan), Majlis Bandaraya Subang Jaya: 15 bas (5 laluan), Majlis Perbandaran Hulu Selangor: 5 bas (4 laluan) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya: 1 bas (1 laluan),” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata langkah itu diambil secara proaktif bagi mendepani ketidaktentuan kos bahan api fosil susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Katanya, peralihan tersebut bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada subsidi diesel kerajaan, malah menjadi pemangkin kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).
“Ini bagi menyokong agenda nasional untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050.
“Dari aspek kecekapan fiskal, langkah ini dapat mengoptimumkan perbelanjaan negeri melalui penggunaan tenaga alternatif yang lebih kos efektif dalam jangka masa panjang,” jelasnya.
Beliau berkata, setakat ini Bas Smart Selangor mengendalikan 156 bas yang beroperasi di 57 laluan di seluruh negeri, dengan purata lebih 8 juta penumpang setahun.
Katanya, Kerajaan Negeri Selangor akan terus memastikan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam kekal efisien, bersih dan mampan demi kesejahteraan rakyat.




