Kota Bharu: Seorang bekas Jurutera Awam Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan menerima rasuah berkait projek pembinaan lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu apabila Muhamad Azly Abdul Aziz, 45, mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan.
Tertuduh, yang ketika kejadian bertugas di Unit Projek Khas Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Ibu Pejabat JKR, didakwa menerima antara RM5,000 dan RM10,000 dari Disember 2022 hingga Oktober 2023 di CIMB Islamic Bank Berhad Cawangan Jalan Maju di sini bagi kelima-lima transaksi.
Mengikut pertuduhan, wang itu diterima daripada individu dikenali sebagai Solehin, yang juga pemilik sebuah syarikat, melalui pemindahan secara dalam talian ke akaun Bank CIMB milik sebuah syarikat didaftarkan atas nama adik tertuduh.
Selain manfaat kewangan bulanan, Muhamad Azly turut meminta Solehin membayar RM30,000 secara dalam talian kepadanya bagi tujuan pembelian sebuah kenderaan terpakai jenis Toyota Alphard.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar memohon hukuman setimpal atas alasan tertuduh seorang penjawat awam, dan kesalahan itu telah mencemarkan integriti perkhidmatan awam serta menghakis kepercayaan masyarakat.
Bagaimanapun, peguam Azeezi Nordin merayu hukuman ringan atas alasan Muhamad Azly telah kehilangan pencen dan ganjaran gratuiti serta berdepan stigma masyarakat selepas kes itu dilaporkan secara meluas di media.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara antara tiga hingga empat bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan Toyota Alphard yang dibeli menggunakan wang suapan itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Muhamad Azly pada asalnya didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 namun susulan representasi yang dikemukakan, dia ditawarkan 14 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding hari ini, dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan manakala baki sembilan pertuduhan lagi diambil kira untuk pertimbangan di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




