Lelaki dicekup bawa ganja, tidak sempat nikmati upah RM3,500

Lelaki dicekup bawa ganja, tidak sempat nikmati upah RM3,500

PASIR MAS: Seorang lelaki tidak sempat menikmati upah RM3,500 hasil membawa ganja selepas dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dalam perjalanan menghantar dadah tersebut semalam.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan pada pukul 8.30 malam di Kampung Kubang Puyu, Meranti di sini.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan rutin anggota bertugas telah tersempak dengan sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, menyedari kehadiran anggota PGA suspek telah bertindak melarikan diri sejauh kira-kira 10 kilometer (km) sebelum berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Proton Saga BLM, pihak polis menemui kotak-kotak mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 210 kilogram.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima arahan penghantaran daripada seorang lelaki warganegara Thailand dengan upah sekitar RM3,500 bagi setiap penghantaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, suspek juga dipercayai mengambil bekalan dari pengkalan haram sebelum dihantar ke lokasi yang ditetapkan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

“Saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” ujarnya.-UTUSAN

Scroll to Top