MGB umum dividen akhir 1.31 sen sesaham

MGB umum dividen akhir 1.31 sen sesaham
MGB umum dividen akhir 1.31 sen sesaham

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, JP, (keempat dari kanan), bersama Ahli Lembaga Pengarah pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-24 yang diadakan pada 19 Jun 2026, di mana para pemegang saham telah meluluskan dividen Kumpulan bagi TK2025.

SHAH ALAM – MGB Berhad (MGB) mengumumkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.31 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), menjadikan jumlah keseluruhan dividen tahun tersebut sebanyak 2.57 sen sesaham.

MGB dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, jumlah itu merupakan pembayaran dividen kedua tertinggi syarikat dalam tempoh empat tahun, sekali gus mencerminkan komitmennya untuk terus memberi pulangan kepada pemegang saham.

Menurut syarikat itu, sejak TK2022, dividen sesaham meningkat lebih lima kali ganda daripada 0.50 sen kepada 2.57 sen, manakala nisbah pembayaran dividen turut meningkat daripada 20 peratus kepada 30 peratus.

“Jumlah dividen bagi TK2025 bersamaan nisbah pembayaran dividen sebanyak 30 peratus, selaras dengan dasar syarikat yang menetapkan pengagihan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan tahunan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham,” katanya.

MGB turut memaklumkan bahawa kedudukan kewangannya kekal kukuh dengan aset bersih sesaham sebanyak RM1.08 dan nisbah gearing bersih rendah iaitu 0.12 kali setakat 31 Mac 2026.

Menurut kenyataan itu, kedudukan kewangan berkenaan memberi fleksibiliti kepada syarikat untuk melaksanakan projek sedia ada, meneroka projek berskala lebih besar serta membiayai inisiatif pertumbuhan pada masa hadapan.

Dividen akhir tersebut telah diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan syarikat pada 19 Jun lalu dan akan dibayar pada 5 Ogos depan kepada pemegang saham yang namanya tersenarai dalam Rekod Pendeposit pada 15 Julai, manakala tarikh ex-dividen ditetapkan pada 14 Julai.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, rekod pembayaran dividen sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini mencerminkan komitmen syarikat untuk memberikan nilai yang mampan kepada pemegang saham.

Menurutnya, MGB pada masa sama terus mengekalkan sumber kewangan yang mencukupi bagi menyokong pelaksanaan projek, modal kerja dan pengembangan perniagaan termasuk peluang di Arab Saudi.

“MGB melangkah ke TK2026 dengan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh hasil penambahan buku pesanan.

“Sepanjang TK2025, kumpulan berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai lebih RM1 bilion termasuk projek bernilai kira-kira RM532.6 juta di Arab Saudi.

“Kejayaan ini bukan sahaja mengukuhkan keterlihatan hasil kumpulan, malah meletakkan MGB pada kedudukan lebih baik untuk merebut peluang projek berskala besar di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, syarikat kekal komited meningkatkan prestasi operasi, melaksanakan projek secara cekap serta meneroka peluang strategik bagi mengukuhkan pendapatan dan memastikan pulangan mampan kepada pemegang saham.

MGB berpandangan kedudukan kewangan yang kukuh, buku pesanan yang semakin berkembang serta pengembangan operasi di peringkat tempatan dan serantau akan menjadi asas kepada pertumbuhan syarikat pada masa depan.

Scroll to Top