8 ditahan cuba seludup 163 kanak-kanak

8 ditahan cuba seludup 163 kanak-kanak
8 ditahan cuba seludup 163 kanak-kanak

Cubaan seludup 163 kanak-kanak untuk dijadikan buruh melalui keretapi berjaya dipatahkan polis.

MADHYA PRADESH – Cubaan lapan lelaki menyeludup 163 kanak-kanak ldari Bihar ke Maharashtra untuk dijadikan buruh paksa dipatahkan polis dalam satu operasi di stesen kereta api Katni, Sabtu lalu.

Kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditahan Pasukan Perlindungan Kereta Api (RPF) bersama Polis Kereta Api Kerajaan (GRP) ketika mengiringi mangsa berusia enam hingga 13 tahun di dalam Kereta Api Ekspres Patna-Purna tanpa tiket dan dokumen perjalanan sah.

Inspektor RPF Katni, Virendra Singh berkata, operasi semalaman itu dilancarkan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak (CWC) berhubung pergerakan mencurigakan sekumpulan besar kanak-kanak.

“Kanak-kanak ini dipercayai dari wilayah Araria, Bihar dan dibawa ke Latur, Maharashtra untuk kerja buruh,” katanya seperti dilapor NDTV News.

Menurutnya, kesemua mangsa kini ditempatkan di lokasi selamat dan sedang menjalani sesi kaunseling.

Anggota keselamatan sebelum itu menunggu di platform sebelum menggeledah gerabak sebaik kereta api itu tiba pada Ahad pagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 143(4) Kanun Keseksaan Bharatiya (BNS) iaitu pemerdagangan kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

Scroll to Top