Harga minyak mentah kembali melonjak selepas AS sekat Selat Hormuz

Harga minyak mentah kembali melonjak selepas AS sekat Selat Hormuz

HARGA minyak mentah global melonjak pada lewat Ahad selepas Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) memaklumkan ia akan mula melaksanakan sekatan terhadap trafik maritim keluar masuk pelabuhan Iran susulan kegagalan rundingan damai dengan Teheran.

Niaga hadapan minyak mentah AS bagi penghantaran Mei meningkat hampir lapan peratus kepada AS$104.20 (RM413.15) setong pada 6.13 petang (ET), manakala minyak mentah penanda aras Brent bagi Jun naik kira-kira tujuh peratus kepada AS$101.86 (RM403.87) setong.

Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) berkata pada Ahad, pihak tentera akan menguatkuasakan sekatan ke atas semua kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran bermula 10 pagi ET pada Isnin.

Operasi itu tidak akan menjejaskan kapal yang berlayar ke atau dari pelabuhan bukan Iran, katanya.

Sekatan itu akan dikenakan ke atas kapal dari semua negara dan meliputi pelabuhan Iran di sepanjang Teluk Arab serta Teluk Oman, menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu pada Ahad, Presiden Donald Trump berkata Tentera Laut AS akan mengambil langkah menyekat perkapalan di Selat Hormuz selepas rundingan antara Washington dan Teheran di Pakistan gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik.

Trump berkata Tentera Laut telah diarahkan untuk mengenal pasti dan menghalang mana-mana kapal di perairan antarabangsa yang membayar tol kepada Iran bagi transit melalui selat itu, iaitu laluan strategik yang menghubungkan pengeluar minyak Asia Barat ke pasaran tenaga global.

Selat Hormuz kebiasaannya mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global, namun trafik kapal tangki merosot ketara susulan peningkatan ketegangan ketenteraan dan kebimbangan terhadap serangan Iran.

Gangguan itu disifatkan sebagai kejutan bekalan minyak terbesar dalam sejarah selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Masih belum jelas sama ada AS akan menyambung semula serangan udara ke atas Iran.

Trump sebelum ini bersetuju kepada gencatan senjata selama dua minggu sebagai pertukaran dengan kebenaran Teheran membenarkan kapal melalui selat tersebut, selepas beliau sebelum itu mengeluarkan ancaman tindakan ketenteraan lebih meluas terhadap infrastruktur Iran.

Pegawai Iran berkata laluan selamat di selat itu sepanjang tempoh gencatan senjata adalah tertakluk kepada kelulusan Teheran.

Penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Akbar Velayati berkata, pada Ahad bahawa kawalan ke atas Selat Hormuz kekal di tangan Iran, menurut laporan media kerajaan.

Data LSEG menunjukkan hanya tiga kapal supertanker melalui selat itu pada Sabtu, jauh lebih rendah berbanding paras sebelum konflik yang menyaksikan lebih 100 kapal berlayar setiap hari.

Setiap supertanker mampu membawa hingga dua juta tong minyak mentah.

Naib Presiden AS, JD Vance yang mengetuai delegasi negara itu dalam rundingan berkenaan berkata, rundingan gagal kerana Iran tidak memberikan komitmen jelas untuk menahan diri daripada membangunkan senjata nuklear.

Speaker Parlimen Iran Mohammad‑Bagher Ghalibaf pula berkata AS gagal meraih kepercayaan delegasi Iran dalam pusingan rundingan terbaharu tersebut. – Awani 

Scroll to Top