Simpan kayu tanpa dokumen sah, lelaki ditahan

Simpan kayu tanpa dokumen sah, lelaki ditahan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Krai: Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Timur dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menahan seorang lelaki kerana memproses dan menyimpan kayu tanpa dokumen sah dengan nilai rampasan lebih RM1.4 juta hari ini.

Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat risikan kira-kira 12 tengah hari di Batu Mengkebang, Kuala Krai.

Menurutnya, suspek yang juga pengurus premis gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen yang diiktiraf pihak berkuasa.

“Pasukan serbuan menahan suspek dan merampas pelbagai jentera serta peralatan termasuk jentera berat, mesin pemotong kayu, mesin asah serta longgokan kayu pelbagai saiz dan spesies.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1,448,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) serta Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.

“Kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top