
Kejadian tembakan di sebuah sekolah di selatan Turkiye mengorbankan empat individu, termasuk seorang guru dan tiga pelajar, serta mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain.
ISTANBUL – Kejadian tembakan di sebuah sekolah di selatan Turkiye mengorbankan empat individu, termasuk seorang guru dan tiga pelajar, serta mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain, menurut pihak berkuasa pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Gabenor Kahramanmaras Mukerrem Unluer memberitahu pemberita bahawa serangan itu berlaku di Sekolah Menengah Ayser Calik, sambil menambah suspek penyerang ialah seorang pelajar gred lapandi sekolah berkenaan.
Unluer berkata, terdapat petunjuk bahawa penyerang mungkin menggunakan lebih daripada satu senjata.
Penyerang itu juga meninggal dunia, namun punca kematiannya tidak dapat dipastikan serta-merta, tambah beliau.
Siasatan sedang dijalankan berhubung serangan itu dan motif kejadian tembakan berkenaan masih belum diketahui.
Rakaman yang disiarkan penyiar CNN Turk menunjukkan ambulans dan pasukan kecemasan berada di lokasi kejadian.
Insiden itu berlaku sehari selepas satu lagi kejadian tembakan berasingan di sebuah sekolah menengah di bandar Sanliurfa di tenggara negara itu, tidak jauh dari Kahramanmaras, yang mencederakan 16 individu termasuk 10 pelajar.
Penyerang dalam kes itu, seorang bekas pelajar, kemudian membunuh diri, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Kejadian tembakan di sekolah jarang berlaku di Turkiye. – Bernama-dpa



