am@hmetro.com.my
Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut segera menyiasat punca kejadian pencemaran sisa minyak yang berlaku di Pantai Teluk Kalong dekat Kemaman, Terengganu.
Ia susulan laporan media semalam, mengenai kejadian yang berlaku sejak Isnin lalu itu, menyebabkan puluhan hidupan laut seperti ketam, sotong dan ikan gerapoh bersaiz besar ditemukan mati.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal dan bimbang dengan kejadian berkenaan kerana ia boleh merebak serta mengancam hidupan laut termasuk sumber pendapatan 30 nelayan kecil di kawasan itu.
“Sehubungan itu, CAP meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan kejadian ini kepada umum serta laporan ujian ke atas sampel minyak, air laut dan bangkai ikan yang dibuat.
“CAP berharap siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil ke atas pihak yang terbabit melakukan pencemaran ini supaya tidak berulang pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini
Mengulas lanjut Mohideen berkata, sebelum ini Pantai Teluk Kalong juga sudah dicemari oleh sisa arang batu.
Justeru katanya, pantai dan perairan berkenaan perlu dibersihkan dengan segera.
“Kajian dan penilaian ke atas kerugian yang dialami oleh nelayan tempatan akibat pencemaran itu perlu dibuat segera oleh Jabatan Perikanan.
“Mereka wajar diberi pampasan yang setimpal jika berlaku kemerosotan hasil tangkapan kesan dari kejadian ini,” katanya lagi.
Menerusi laporan itu, nelayan mendakwa pencemaran berkenaan disedari selepas mereka terpijak tompokan minyak kira-kira jam 4 pagi ketika hendak turun ke laut.
Sebaik pulang dari laut pada tengah hari itu, banyak tompokan minyak dilihat dengan ikan serta sotong ditemui mati terdampar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




