Presiden FIFA yakin Iran sertai Piala Dunia, walau konflik berterusan

Presiden FIFA yakin Iran sertai Piala Dunia, walau konflik berterusan
Presiden FIFA yakin Iran sertai Piala Dunia, walau konflik berterusan

Gianni Infantino – Foto: Agensi

PRESIDEN FIFA, Gianni Infantino pada Rabu menyuarakan keyakinan bahawa Iran akan tetap menyertai Piala Dunia musim panas ini, sambil berkata pasukan itu sendiri menyatakan hasrat untuk beraksi meskipun konflik masih berterusan, lapor Anadolu Ajansi.

“Iran semestinya datang. Mereka mewakili rakyat mereka. Mereka telah layak. Pemain-pemain mereka mahu bermain,” kata Infantino pada Forum Invest in America anjuran CNBC di Washington.

Beliau baru-baru ini melawat skuad Iran di kem latihan mereka di Antalya, selatan Türkiye dan para pemain menyatakan keinginan untuk bertanding.

“Sukan sepatutnya berada di luar politik,” katanya sambil mengakui keadaan yang sukar.

Iran layak menyertai kejohanan itu, yang akan membuka tirai pada 11 Jun di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Iran dijadual menentang New Zealand dan Belgium di Los Angeles masing-masing pada 15 dan 21 Jun, serta Mesir di Seattle pada 26 Jun.

Permintaan Iran untuk memindahkan perlawanan mereka ke Mexico ditolak FIFA.

Bagaimanapun, penyertaan kejohanan itu masih tidak menentu. Menteri Sukan Iran sebelum ini dilaporkan berkata negara itu tidak boleh mengambil bahagian “dalam apa jua keadaan”, susulan serangan AS-Israel pada 28 Feb yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.

Presiden AS, Donald Trump pula berkata, pada Mac bahawa walaupun pasukan Iran dialu-alukan ke Piala Dunia, beliau berpendapat kehadiran mereka mungkin tidak sesuai “demi nyawa dan keselamatan mereka sendiri.”

Infantino berkata beliau berharap keadaan akan kembali aman menjelang bermulanya kejohanan itu. – Bernama

Scroll to Top