Apa ada di hotel tertinggi di dunia?

Apa ada di hotel tertinggi di dunia?

Dubai: Hotel tertinggi di dunia, Ciel Dubai Marina kini sudah membuka pintunya kepada orang ramai, lapor portal People.com.

Hotel itu terletak di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menawarkan pemandangan 360 darjah Dubai Marina, Palm Jumeirah dan Teluk Arab, menurut laman web First Group.

Struktur pencakar langit ini direka oleh arkitek London, NORR Group dan mempunyai ketinggian 1,236.88 kaki (377 meter), menjadikannya hotel tertinggi di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif pembangunan projek First Group, Rob Burns berkata, hotel itu sebenarnya tidak dirancang untuk setinggi ini.

“Kami mahu membina sesuatu yang menakjubkan, tetapi tidak merancang untuk membina hotel tertinggi di dunia,” katanya.

Hotel berkenaan membuka pintunya pada 15 November lalu dengan First Group memuji ia sebagai simbol inovasi, cita-cita dan visi yang menjadi realiti.

Video promosi hotel memaparkan dinding kaca mewah dan tingkap pada bangunan 82 tingkat itu, termasuk bukaan besar di bahagian atas yang dipanggil ‘mata jarum’ bagi tujuan reka bentuk dan fungsi.

Dalam pada itu, kata Burns, bukaan itu membolehkan angin melalui menara dan meminimumkan beban angin.

Difahamkan, arkitek Yahya Jan, turut memasukkan ruang komuniti sosial yang digelar ‘taman kecil’, menjadikan menara itu seperti beberapa kejiranan kecil.

Difahamkan, harga bilik di sini bermula daripada AS$375 (kira-kira RM1,460) semalam untuk bilik ‘deluxe’ dan AS$545 (kira-kira RM2,122) untuk ‘suite king’.

Hotel ini turut menampilkan atrium pusat yang dipenuhi cahaya semula jadi, lapan tempat makan, tiga kolam renang termasuk kolam infiniti di tingkat 76 dan pusat kecergasan serta pusat perniagaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top