Lubnan-Israel setuju gencatan senjata 10 hari – Trump

Lubnan-Israel setuju gencatan senjata 10 hari – Trump

Kuala Lumpur: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata, pemimpin Israel dan Lubnan bersetuju untuk memulakan gencatan senjata selama 10 hari pada 5 petang (2100 GMT), lapor Reuters.

Trump tidak menyatakan secara khusus tarikh gencatan senjata itu akan bermula.

Seorang pegawai AS, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, gencatan senjata berkenaan akan bermula pada Khamis.

Presiden itu berkata dalam hantaran di Truth Social bahawa beliau mengadakan “perbualan yang sangat baik” dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Lubnan Joseph Aoun.

Dalam hantaran kedua, beliau berkata akan menjemput kedua-dua pemimpin itu ke Rumah Putih untuk “rundingan bermakna” antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua Pemimpin ini bersetuju bahawa demi mencapai KEAMANAN antara Negara mereka, mereka akan memulakan secara rasmi GENCATAN SENJATA 10 Hari pada 5 PETANG EST,” tulis beliau, sambil menambah bahawa beliau sudah mengarahkan Naib Presiden AS JD Vance, Setiausaha Negara Marco Rubio dan Pengerusi Ketua Pegawai Bersama Dan Caine untuk bekerjasama dengan kedua-dua negara bagi mencapai keamanan yang berkekalan.

“Kedua-dua pihak mahu melihat KEAMANAN, dan saya percaya ia akan berlaku, dengan segera!” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top