am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas lebih sedekad dalam bidang lakonan, pelakon Jehan Miskin, 46, kini memperlahankan kerjaya seninya kerana memberi fokus kepada kerja belakang tabir menerusi produksinya, Mastermind Group.
Jehan berkata, dia membuat keputusan untuk beralih kepada bidang pengarahan dan penerbitan iklan komersil kerana sudah memiliki syarikat produksi sendiri yang sudah beroperasi sejak 2009.
“Saya memilih ke arah kerja belakang tabir sebab tanggungjawab kepada syarikat lebih besar kerana masing-masing bekerja untuk mencari rezeki.
“Syarikat produksi itu sudah beroperasi lebih kurang 16 hingga 17 tahun. Kami juga banyak fokus pada kerja-kerja komersial, iklan dan kolaborasi dengan jenama. Sebagai penerbit, saya juga masih boleh berkarya dan menggunakan kreativiti,” katanya ketika ditemui pada majlis Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment di sini.
Ditanya perancangan untuk melakukan ‘comeback’ atau kemunculan semula, pelakon filem Qaisy & Laila itu mengakui masih merindui bidang lakonan tetapi tidak dapat melakukannya kerana kesibukan dengan produksinya.
“Sekali kita sudah berlakon, memang kita akan berasa rindu. Saya juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan sudah bersara daripada bidang lakonan. Cuma buat masa sekarang, agak susah untuk menerima tawaran berlakon disebabkan komitmen saya dengan syarikat.
“Dengan jadual kerja yang padat dan projek yang sentiasa berjalan, saya tidak mampu memberi komitmen untuk penggambaran dalam jangka panjang. Tetapi, kalau ada tawaran watak penampilan khas (cameo) satu atau dua hari, saya okey untuk suka-suka,” katanya.
Mengulas trend penerbit sekarang yang mengambil artis berlakon berdasarkan jumlah pengikut di media sosial pula, Jehan berpendapat ia tidak menjamin kejayaan pada sesebuah naskhah.
“Jumlah pengikut yang tinggi di media sosial tidak menjamin kejayaan dalam apa jua bidang pun. Ada orang pengikut berjuta-juta, tetapi apabila jual produk, tidak semestinya berjaya. Jadi bagi saya, itu bukan fokus saya. Saya cuma mahu terus berkarya,” katanya.
Untuk rekod, Jehan berkahwin dengan wanita warga Korea Selatan, Julie Camelia Rhee pada Mei 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Axel Nova Rhee.
© New Straits Times Press (M) Bhd




