London: Legenda bola sepak England, Gary Lineker merayu agar Cristiano Ronaldo memaafkannya selepas bintang Al-Nassr dan Portugal itu berhenti daripada mengikutinya di media sosial.
Ronaldo mempunyai 673 juta pengikut, mengikuti lebih 600 akaun di Instagram termasuk nama seperti Mr Beast, muzium miliknya sendiri, Nike, Martin Odegaard, Donald Trump dan Erling Haaland.
Bekas pemain Manchester United itu sebelum ini masih mengikuti Gary Lineker, namun baru-baru ini berhenti berbuat demikian yang menurut bekas penyerang England itu berpunca daripada komen mengenai pesaing Ronaldo, Lionel Messi.
Dalam podcast The Rest Is Football, Lineker berbicara mengenai siapa pemain terhebat sepanjang zaman dengan Messi diletakkan di atas Ronaldo, sesuatu yang jelas tidak disenangi oleh bintang Portugal itu.
“Dia (Messi) ialah pemain kegemaran saya sepanjang zaman sebab dia pemain terbaik sepanjang zaman, pada pandangan saya. Perbezaan antara legenda seperti Cruyff, Zidane, Ronaldo, menunjukkan tahap lebih tinggi yang Messi capai adalah luar biasa.
“Tanpa kecederaan, saya rasa ‘Brazilian Ronaldo’ juga akan berada dalam perbincangan itu. Tetapi walaupun begitu, dia masih luar biasa dan sangat menghiburkan. Jadi kalau saya pilih empat pemain terbaik (‘Mount Rushmore’), ia adalah Pele, Maradona, Messi, Fenomeno (Ronaldo).”
Lineker kemudian mendedahkan Ronaldo telah berhenti mengikutinya, sambil merayu agar hubungan mereka kembali baik.
“Dia tak begitu suka saya, Cristiano Ronaldo. Saya tidak menyinggungnya secara peribadi selain daripada jujur mengatakan Messi lebih baik.
“Dia ‘unfollow’ saya di Instagram. Saya akan teruskan hidup. Saya tetap suka dia, saya pernah jumpa dia banyak kali. Saya tahu dia kecil hati dengan saya, tapi tak apa. Dan sebelum tamat, tolong Cristiano. Hubungi saya. Mari kita berkawan semula.”
Kapten Portugal itu pula sedang berada dalam prestasi cemerlang musim ini, menjaringkan 25 gol dan 4 bantuan gol dalam 29 perlawanan untuk Al-Nassr setakat ini, namun ia jelas tidak mengubah pendirian Lineker.
© New Straits Times Press (M) Bhd




