Rakyat Malaysia antara lapan terkorban dalam nahas helikopter di Indonesia

Rakyat Malaysia antara lapan terkorban dalam nahas helikopter di Indonesia
Rakyat Malaysia antara lapan terkorban dalam nahas helikopter di Indonesia

Seorang rakyat Malaysia antara lapan mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Kalimantan Barat pada Khamis. Gambar hiasan

JAKARTA – [DIKEMAS KINI] Seorang rakyat Malaysia disahkan antara lapan mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Airbus H130 yang terhempas di Kalimantan Barat pada Khamis.

Timbalan Operasi dan Kesiapsiagaan Badan Nasional Mencari dan Menyelamat (Basarnas), Edy Prakoso berkata, warga Malaysia itu merupakan seorang daripada enam penumpang pesawat malang berkenaan, yang turut membawa dua kru iaitu seorang juruterbang dan seorang juruteknik.

“Benar, seorang daripada mangsa merupakan warganegara asing dari Malaysia,” katanya menurut laporan Agensi Berita Antara pada Jumaat.

Edy berkata, proses penyerahan mayat kepada ahli keluarga sedang dijalankan susulan prosedur pengecaman yang telah selesai.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Lukman F Laisa dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa warga Malaysia yang terkorban dikenal pasti sebagai Patrick K.

Selain Patrick, mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Marindra W (juruterbang), Harun Arasyid (juruteknik), serta lima lagi penumpang iaitu Victor T, Charles L, Joko C, Fauzie O dan Sugito.

Helikopter yang dikendalikan Matthew Air Nusantara itu berlepas pada 7.34 pagi waktu tempatan dari Kabupaten Melawi dan dilaporkan terputus hubungan pada 8.39 pagi ketika dalam perjalanan ke Kabupaten Kubu Raya di Kalimantan Barat.

Sementara itu, Pengarah Kesiapsiagaan Basarnas Noer Isrodin berkata, semua mayat telah dipindahkan dan dibawa ke Hospital Bhayangkara di Pontianak untuk proses pengecaman.

Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan punca nahas masih belum dikenal pasti manakala laporan awal dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian. – Bernama

 

 

Scroll to Top