Bola sepak Itali di titik terendah, krisis besar makin parah

Bola sepak Itali di titik terendah, krisis besar makin parah

Rom: Bolasepak Itali kini berdepan kemerosotan paling serius dalam hampir empat dekad selepas kegagalan berantai di pentas Eropah dan pentas antarabangsa, sekali gus mencetuskan krisis struktur yang membimbangkan.

Buat pertama kali sejak musim 1986-87, tiada wakil Itali berjaya mara ke separuh akhir mana-mana kejohanan Eropah apabila Bologna dan Fiorentina tersingkir masing-masing dalam Liga Europa dan Liga Konferens.

Sebelum itu, harapan terakhir di Liga Juara-Juara, Atalanta turut tersingkir di pusingan 16 terbaik, melengkapkan ‘kejatuhan total’ kelab Itali di pentas benua.

Situasi itu menambah luka selepas skuad kebangsaan Itali sekali lagi gagal layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus mencetuskan krisis identiti dalam negara yang menjadikan bola sepak sebagai nadi utama.

Lebih memeritkan, episod duka itu memuncak dengan kekalahan kepada Bosnia and Herzegovina dalam aksi playoff kelayakan Piala Dunia, yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatih, Gennaro Gattuso.

Tidak lama kemudian, Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali turut berundur apabila Gabriele Gravina mengakui asas bola sepak negara itu semakin rapuh.

“Krisi ini mendalam, bola sepak Itali perlu direka semula,” katanya.

Pandangan itu turut disokong legenda kejurulatihan seperti Fabio Capello yang menyifatkan keadaan semasa sebagai “tahap paling rendah”, selain Carlo Ancelotti yang melihat Itali sudah hilang identiti di dalam dan luar padang.

Menurut Ancelotti, jurang kewangan dengan liga lain serta kehilangan daya tarikan menyebabkan pemain bertaraf dunia tidak lagi memilih Serie A sebagai destinasi utama.

Dalam masa sama, isu infrastruktur turut memburukkan keadaan apabila projek stadium dilaporkan jauh ketinggalan menjelang penganjuran Euro 2032 bersama Turki.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin memberi amaran kejohanan itu mungkin tidak dapat dianjurkan di Itali jika masalah berkenaan gagal diselesaikan.

Ketika musim semakin hampir melabuhkan tirai, Itali kini berada di persimpangan penting dengan jawatan jurulatih dan presiden persekutuan masih kosong.

Nama seperti Antonio Conte dan Massimiliano Allegri disebut-sebut sebagai calon pengganti, namun keputusan dijangka hanya dibuat selepas pemilihan badan induk pada 22 Jun ini.

Buat masa ini, bola sepak Itali seolah-olah ‘tergantung’, menanti sama ada pembaharuan besar-besaran mampu mengembalikan kegemilangan atau terus hanyut dalam krisis berpanjangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top