WASHINGTON – Israel dan Lubnan bersetuju memulakan gencatan senjata selama 10 hari bermula jam 5 petang (2100 GMT) pada Khamis susulan rundingan yang dimudah cara oleh Washington minggu ini.
Memetik laporan Reuters, Rumah Putih memaklumkan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menghubungi Presiden Lubnan, Joseph Aoun dan dua kali berbincang melalui telefon dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika persetujuan itu dimuktamadkan.
Trump turut menyatakan hasrat untuk menjadi tuan rumah kepada kedua-dua pemimpin itu di Washington dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang.
Sebelum ini, Trump memaklumkan bahawa pemimpin Israel dan Lubnan dijangka mengadakan perbincangan ketika Washington berusaha meredakan ketegangan, susulan rundingan langsung pertama antara kedua-dua pihak yang bermusuhan itu dalam tempoh beberapa dekad.
Pada 2 Mac, kumpulan pro-Tehran, Hizbullah melancarkan serangan ke atas Israel, menyebabkan Lubnan terheret dalam konflik perang di Asia Barat.
Pihak berkuasa Lubnan memaklumkan, serangan Israel telah mengorbankan lebih 2,100 nyawa di negara itu serta memaksa lebih 1.2 juta penduduk melarikan diri.
Keadaan itu berlaku meskipun terdapat desakan antarabangsa agar gencatan senjata dilaksanakan manakala, tentera darat Israel turut dilaporkan menceroboh kawasan selatan negara berkenaan.



