2 wanita antara 6 suspek ditahan curi peralatan menara pemancar telekomunikasi

2 wanita antara 6 suspek ditahan curi peralatan menara pemancar telekomunikasi

am@hmetro.com.my

Nilai: Enam suspek termasuk dua wanita dengan pelbagai rekod jenayah ditahan polis dalam beberapa tangkapan di sekitar daerah ini kerana disyaki mencuri peralatan menara telekomunikasi secara terancang.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Johari Yahya berkata, tangkapan berkenaan susulan kejadian pecah masuk menara telekomunikasi di Tangki Air Sains Nilai Spring, Villa Desa Casia, Bandar Baru Nilai, di sini, semalam.

“Pada 7.15 malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima maklumat berhubung kejadian pecah masuk di tapak pencawang pemancar telekomunikasi di Tangki Air SAINS Nilai Spring.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati pintu ‘caging Remote Radio Unit’ (RRU), milik syarikat telekomunikasi dipecah masuk dan beberapa peralatan hilang dipercayai dicuri,” katanya hari ini.

Menuruntya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari IPD Nilai menjalankan operasi dan berjaya menahan seramai enam suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita.

“Semua suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar daerah ini dan Mantin dari malam tadi hingga awal pagi ini.

“Hasil tangkapan ini, pihak polis turut merampas beberapa unit peralatan telekomunikasi.

“Turut dirampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah, selain kenderaan yang digunakan suspek,” katanya.

Menurutnya, semakan rekod mendapati sebahagian besar suspek mempunyai rekod jenayah termasuk kes berkaitan kecurian, samun serta kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan ini bertindak secara terancang dengan memecah masuk pencawang telekomunikasi.

“Suspek disyaki mencabut komponen peralatan sebelum dijual di pasaran besi buruk bagi mendapatkan keuntungan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Kami tidak menolak kemungkinan kumpulan ini turut terbabit dalam beberapa kes kecurian lain di sekitar daerah ini.

“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya

Menuruntya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis Diraja Malaysia akan terus komited dalam membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top