DSA 2026 kekal platform neutral, Iran tarik diri saat akhir – Mohamed Khaled

DSA 2026 kekal platform neutral, Iran tarik diri saat akhir – Mohamed Khaled

Malaysia kekal dengan pendirian sebagai platform neutral dalam penganjuran Defence Services Asia (DSA), sekali gus membuka ruang kepada penyertaan pelbagai negara termasuk kuasa besar seperti China, Rusia dan Amerika Syarikat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu membezakan Malaysia daripada negara lain yang lazimnya hanya menjemput rakan sekutu tertentu dalam pameran pertahanan.

“Seperti yang diketahui, penganjuran ini merupakan satu platform yang neutral. Tidak seperti negara lain, apabila penganjuran seumpama ini diadakan, ia lazimnya hanya menjemput dan disertai oleh negara-negara yang sehaluan.
“Namun bagi Malaysia, platform ini bersifat terbuka dan neutral, di mana semua negara yang terlibat turut hadir untuk mempamerkan produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi walkabout pameran dwitahunan edisi ke-19 itu dan Pameran Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026 kali keempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.

DSA dan NATSEC Asia 2026 yang akan berlangsung bermula 20 hingga 23 April ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled memaklumkan, Iran terpaksa menarik diri pada saat akhir susulan konflik semasa, walaupun sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk menyertai pameran berkenaan.

“Untuk kali ini, kita dapat melihat bahawa Iran tidak dapat menyertai pameran ini. Walaupun sebelum konflik, mereka telah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian, namun syarikat-syarikat dari negara itu terpaksa menarik diri pada saat akhir.
“Bagaimanapun, negara lain seperti China, Rusia dan Amerika Syarikat masih lagi menyertai pameran DSA kali ini,” ujarnya. 

Tambah beliau, sebanyak 1,456 syarikat dari 63 negara mengambil bahagian dalam DSA tahun ini, meningkat berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada edisi 2024.

“Untuk tahun ini, kita menyediakan sebanyak 37 pavilion negara berbanding 38 pavilion pada dua tahun lepas. Ini kerana seperti yang telah saya nyatakan, Iran terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir.
“Negara yang mencatat penyertaan syarikat terbesar pada tahun ini ialah China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Itali, Amerika Syarikat, India dan Republik Korea.
“Dari segi saiz pavilion, China mencatat penyertaan terbesar dengan 192 syarikat, diikuti Amerika Syarikat dengan 87 syarikat dan seterusnya 83 syarikat dari negara lain.
“Tahun ini juga menyaksikan penyertaan pavilion baharu daripada Rusia, Finland, Hungary dan Jepun. Sebelum ini, Rusia dan Jepun tidak menyertai pameran ini, jadi kali ini terdapat lima negara baharu yang menyertai melalui pavilion masing-masing.
“Selain itu, sebanyak 368 syarikat Malaysia turut mengambil bahagian dalam pameran pada kali ini. Ini antara kelainan DSA tahun ini,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, DSA 2026 turut menampilkan lima segmen baharu, termasuk Pavilion Coalition of Defence Industry Malaysia yang menghimpunkan syarikat tempatan dalam industri pertahanan.

Segmen lain meliputi CBRNE yang memberi fokus kepada ancaman kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan, selain Firearms & Tactical Gear yang mengetengahkan kelengkapan taktikal.

Turut diperkenalkan ialah DSA Asia Lab sebagai platform kepada syarikat pemula dan inovator teknologi, serta forum keselamatan dan teknologi yang membincangkan isu-isu semasa berkaitan pertahanan.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly bin Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai kanan awam kementerian dan ATM.

Scroll to Top