bhnews@bh.com.my
Sungai Buloh: Lebih ramai tokoh dan pemimpin politik termasuk yang sebelum ini bersama pembangkang dijangka akan menyertai Rumah Bangsa untuk kembali bersama UMNO.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramai dalam kalangan pemimpin dan tokoh berkenaan sudah bertemunya sebelum ini.
“Saya menjangkakan lebih ramai lagi nama-nama besar yang akan menyertainya. Mereka sudah bertemu dengan saya secara tidak rasmi.
“Ramai yang jumpa, tapi untuk jaga air muka, saya tak perlu sebutkan namanya di sini. Kita mengalu-alukan semua pihak tanpa syarat untuk menyertai UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian RissMart Grocer di sini hari ini.
Turut sama hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Pengerusi RISDA, Mandzri Nasib.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan mempermudah urusan mereka yang ingin kembali kepada UMNO menerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dibentuk dan dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebagai contoh, beliau berkata penerimaan semula Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin serta Tan Sri Syed Hamid Albar ke dalam melalui proses mudah dan segera, tanpa melalui jawatankuasa.
“Kita sudah mempermudahkan permohonan (mereka) ini dengan hanya menulis surat untuk menyatakan hasrat kemasukan dan terus sertai. Kita sudah membuat keputusan bahawa permohonan (mereka) ini tidak perlu dirujuk oleh jawatankasa.
“Kita juga sudah memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Rumah Besar yang dipengerusikan Mohamed Khaled untuk meneruskan (urusan mempermudah kemasukan) serta merta,” katanya.
UMNO juga kata beliau turut mempermudah kemasukan anak muda dalam parti menerusi permohonan dalam talian, tanpa perlu melalui proses kelulusan yang rumit dan lama.
“Kita sudah membuka permohonan atas talian dan kita akan keluarkan kad keahlian secara digital. Ini (permohonan dalam talian) khususnya juga untuk mereka yang selama ini sudah meninggalkan parti.
“Dulunya, cara konvensional, mereka kena isi borang, memohon melalui ketua cawangan, kemudian dibawa ke bahagian, ke negeri, ke ibu pejabat. Jadi proses ini yang tidak disukai oleh anak-anak muda.
“Jadi kita melakukan ‘game changer,’ mereka terus memohon atas talian, secara terus (didaftar) ke ibu pejabat. Itu sebabnya kita mendapat maklum balas yang baik,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan sejumlah 6,252 bekas pimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat diterima semula untuk menyertai parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




