Las Vegas: Tujuh ahli keluarga Chen menjadi tular di media sosial kerana kerjaya mereka dalam bidang pergigian, rupa paras yang menarik serta hubungan akrab erat, hasil asuhan tanpa disiplin yang terlalu ketat, lapor VnExpress.
Ketua keluarga, Dr Leon Chen yang juga perintis dalam bidang implan pergigian, manakala Dr Jennifer Cha, pengasas bersama rangkaian klinik antarabangsa mempunyai lima anak iaitu Nina, Audree, Niq, Aleq dan Nasdaq.
Menurut South China Morning Post, kesemua anak mereka turut menceburi bidang pergigian mengikut jejak langkah ibu bapa didorong minat yang mendalam terhadap bidang itu.
Keluarga itu mula menarik perhatian di media sosial pada 2023 selepas Niq memuat naik vlog peribadi di YouTube dan TikTok dengan satu videonya di Instagram pada Januari lalu menarik lebih 92 juta tontonan.
Leon yang dilahirkan pada 1966 di Changhua, Taiwan, berasal daripada keluarga doktor dan graduan cemerlang Fakulti Perubatan Pergigian Harvard melalui biasiswa penuh.
Beliau bertemu Jennifer pada 1995 di Chicago sebelum mereka menubuhkan Institut Implan Dental pada 1998 serta memperkenalkan OsseoFuse One Drill Implant System sedekad kemudian.
Pasangan itu menyifatkan pencapaian terbesar mereka adalah membesarkan lima anak yang Jarak usia mereka hanya setahun setiap seorang, di mana kesemuanya memilih untuk menjadi doktor gigi secara sukarela.
Bagi mempercepatkan latihan, kesemua anak mereka melanjutkan pengajian di Universidad Europea de Madrid di Sepanyol, selepas tamat sekolah menengah sebelum meneruskan latihan lanjutan di universiti terkemuka Amerika Syarikat (AS).
Anak sulung, Nina, adalah pakar dalam bidang periodontik di New York, manakala Audree dan Aleq pula menumpukan kepada bidang prostodontik selepas menjalani latihan di Universiti Tufts.
Niq ialah pakar dalam periodontik dari Universiti Columbia sementara anak bongsu, Nasdaq, menamatkan latihan pascadoktorat dalam bidang implantologi di Universiti New York.
Walaupun memiliki kerjaya profesional yang sama, Leon dan Jennifer menjelaskan bahawa mereka tidak mengamalkan kaedah asuhan yang terlalu ketat, sebaliknya anak-anak mereka menggambarkan hubungan keluarga itu lebih bersifat seperti rakan.
“Kami belajar bersama untuk peperiksaan akhir sejak sekolah rendah hingga universiti. Keakraban ini akan tetap sama walaupun kami tidak berada dalam bidang pergigian,” kata Nasdaq yang juga anak bongsu dalam keluarga berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




