Boston: Pelari Kenya, John Korir mencipta sensasi apabila memecahkan rekod laluan dalam Maraton Boston, sekali gus mengetuai dominasi negaranya, manakala rakan senegara Sharon Lokedi mempertahankan kejuaraan wanita.
Korir menjuarai perlumbaan lelaki buat dua tahun berturut-turut dengan catatan luar biasa dua jam 1 minit 52 saat, memadam rekod lama milik Geoffrey Mutai yang dilakukan pada 2011.
Lebih mengagumkan, tiga pelari teratas semuanya mengatasi rekod lama itu.
Korir mula memecut pada jarak 32 kilometer apabila meninggalkan pelari Ethiopia, Milkesha Mengesha sebelum berlari solo hingga ke garisan penamat.
“Saya yakin boleh mempertahankan gelaran, tetapi tidak sangka mampu mencatat masa sepantas ini,” katanya.
Dalam saingan wanita, Sharon menamatkan perlumbaan dengan catatan dua jam 18 minit 51 saat, sekali gus mengekalkan gelaran dimenangi tahun lalu.
Dia membuat pecutan penentu pada lapan kilometer terakhir untuk meninggalkan pencabar utama, Loice Chemnung.
“Saya hanya mahu terus menekan dan lihat apa yang mampu saya lakukan. Saya berikan segala-galanya,” katanya.
Pelari Kenya menguasai empat kedudukan teratas kategori wanita, manakala pelari Amerika Syarikat, Jess McClain menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan terbaik negaranya.
Perlumbaan edisi ke-130 itu berlangsung dalam cuaca sejuk sekitar 7 darjah Celsius, namun bantuan angin dari belakang memberi kelebihan kepada pelari untuk mencatat masa pantas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




