Nama pelakon Amir Nafis semakin menjadi sebutan apabila terus diberi kepercayaan membintangi beberapa filem baharu tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon yang versatil di layar perak.
Terbaharu, Amir tampil dengan filem Konspirasi yang dijadualkan menemui penonton bermula 21 Mei 2026, menerusi watak antagonis yang sarat dengan emosi dan intensiti.
Ini bukan kali pertama Amir membawakan karakter sedemikian. Sebelum ini, dia turut mencuri perhatian menerusi filem Blood Brothers bersama Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Syukri Yahya, yang membuka lebih banyak peluang untuknya mengembangkan bakat lakonan.
Dalam Konspirasi, Amir sekali lagi menghidupkan watak antagonis dengan pendekatan yang lebih matang dan natural, mencerminkan perkembangan lakonannya yang semakin kukuh.
Filem ini turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal dan Che Puan Sarimah Ibrahim, sekali gus menjadikan naskhah ini antara yang dinanti-nantikan.

Berkongsi mengenai watak dibawakan, Amir mengakui dia semakin selesa meneroka sisi antagonis yang dianggap memberi ruang lebih luas untuk mencabar kemampuan diri.
“Watak antagonis bagi saya sangat menarik sebab ia beri peluang untuk saya eksplorasi emosi yang lebih kompleks. Dalam Konspirasi, saya cuba bawakan karakter ini dengan cara yang lebih terkawal dan realistik,” katanya.
Filem arahan Ghaz Abu Bakar ini membawa penonton menyelami dunia berisiko tinggi sekumpulan ejen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang sedang memburu seorang pengganas siber berbahaya.
Amir turut melihat peluang bergandingan dengan pelakon berpengalaman sebagai satu ruang untuk terus belajar dan meningkatkan kualiti lakonan.
“Bila bekerja dengan pelakon hebat, kita sendiri rasa tercabar untuk bagi yang terbaik. Itu yang buat saya lebih fokus untuk perbaiki setiap aspek lakonan,” katanya.
Dengan sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran, Konspirasi menjanjikan gabungan aksi, emosi dan penceritaan yang lebih mendalam.
Filem ini bakal menemui penonton di pawagam bermula 21 Mei 2026 dan dijangka menjadi antara naskhah tempatan yang mencuri perhatian tahun ini.




