Modal naik, untung kurang

Modal naik, untung kurang

PENJAJA dan peniaga kecil kini berdepan tekanan berganda apabila menanggung kos modal yang meningkat sehingga 40 peratus susulan krisis minyak global yang berpunca daripada konflik perang berterusan di Asia Barat.

Tinjauan mendapati rata-rata peniaga menyedari impak kenaikan harga bahan api disebabkan perang Israel-Iran memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, sekali gus melonjakkan kos bahan mentah, logistik dan operasi harian perniagaan.

Bagi peniaga nasi ayam geprek, Azhar Noh, 60, terdapat barangan mentah didapati meningkat lebih dua kali ganda menyebabkan peningkatan modal yang tidak dapat dielakkan.

Azhar yang sudah lebih 17 tahun meniaga berkata, dalam keadaan ketegangan krisis yang tidak menentu kini, impaknya dibimbangi akan terus menekan harga rantaian bekalan sehingga sukar dikawal.

“Situasi sekarang dengan keadaan minyak yang harga yang tidak menentu dan melambung tinggi, menyebabkan kos barang-barang semua naik contoh macam timun, harga biasa dalam RM2 hingga RM2.50 (sekilo) sekarang dah melambung hingga RM7, dua kali ganda lebih.

“Harga naik ketara ni selepas cuti Raya (Aidilfitri), memang menakutkan. Tapi saya masih jual dengan harga biasa. Jadi keuntungan berkurangan.

“Setakat ini kita masih boleh bertahan lagi, tapi soalnya pelanggan pun risau naik harga. Jadi, mungkin sampai satu tahap kalau sudah tak boleh nak serap kos, terpaksa juga menaikkan harga,” katanya kepada Sinar Bisnes.

Pada masa sama Azhar berkata, dia juga berasa bimbang sekiranya krisis yang berterusan membawa kesan lebih teruk sehingga kerajaan terpaksa menghapuskan mana-mana subsidi, khususnya bagi petrol dan diesel.

“Sekarang bergantung penuh dengan BUDI95, saya kongsi kuota dengan keluarga untuk urusan harian dan meniaga, itu pun cukup-cukup saja. Jadi memang rasa takut kalau tiba-tiba BUDI95 dihapuskan,” katanya.

Bagi peniaga nasi campur, Zaim Mahzan, 43, ketika ini dia menanggung kos kenaikan modal harian sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus bergantung kepada jenis bahan mentah.

Kerana itu katanya, dia lebih bersedia berdepan harga barang mentah yang terus meningkat kerana tidak nampak sebarang krisis akan pulih masa terdekat.

“Nampak macam 50-50 sebenarnya kalau baca betul-betul dengan Iran pun dah keras kepala, Trump pun memang lagi dia keras kepala. Rasanya krisis ni akan ambil masa lama lagi.

“Kalau perasan, sebelum perang lagi pun tiba-tiba barang naik harga. Bila tengah perang ni lagi lah jadi sebab kuat untuk pembekal naikkan harga. Tapi kami peniaga tak ada pilihan sebab ini periuk nasi kami.

“Ada sesetengah lauk, bahan-bahan mentah dia naik harga. Barang-barang plastik semua naik harga lebih-lebih lagi bekas bungkus nasi dari RM15 jadi lebih RM16. Kita faham situasi pemborong yang terpaksa naikkan harga sebab diesel pun makin mahal,” katanya.

Nur Arifah Akalili Zubri, 33, juga kini dalam keadaan lebih bersedia selagi belum ada jaminan perang atau krisis di Selat Hormuz, yang melonjakkan harga minyak global benar-benar tamat.

Namun katanya, pelanggan juga perlu lebih realistik dalam menerima sebarang kenaikan harga jualan disebabkan tekanan yang dihadapi masyarakat peniaga kecil.

“Sekarang pun nampak pelanggan macam berhati-hati nak beli nasi berlauk, lebih jimat. Kalau sebelum ni ambil banyak jenis (lauk), sekarang dah kurang,” katanya.

Peniaga nasi kerabu, Siti Norhafizah Zakaria, 47, juga berdepan impak kenaikan harga barangan yang menjejaskan keuntungannya, lebih-lebih lagi urusan peniagaannya menggunakan kenderaan berdiesel.

“Kebiasaannya modal harian RM1,300, sekarang menjadi sekurang-kurangnya RM1,500 atau lebih. Memang tahu bila minyak naik (harga) barang memang naik harga juga. Tapi sekarang ini memang saya jual saja macam biasa dulu. Cuma harap krisis ni segera tamat.

“(Harga) barang bila naik memang tak turun dah. Jadi harap harga diesel turun balik. Saya tak boleh pakai kereta biasa sebab barang meniaga banyak. Kerusi meja, payung ni semua tak boleh tinggalkan di tapak niaga,” katanya.

Sementara itu, peniaga kuetiau goreng, Ifham Zulkarnain, 26, berkata, walaupun modal untuk operasi jualannya tidak menerima kesan ketara kenaikan harga barang, wujud kebimbangan penurunan hasil jualan susulan kuasa membeli pelanggan yang semakin berkurangan.

“Saya menjaja di kaki lima, harapkan pelanggan yang kerja di bangunan pejabat berhampiran. Sekarang ini ada pelaksanaan kerja dari rumah. Jadi bimbang juga kalau orang dah kurang datang beli.

“Pelanggan pun mungkin dah kurang berbelanja luar sebab nak jimat. Selagi perang tak habis, Amerika pegang ekonomi dunia, jadi kita tak boleh nak cakap apa,” katanya.

Sehubungan itu, rata-rata peniaga berharap agar kerajaan mampu mengawal kenaikan harga agar tiada pihak yang mengambil kesempatan dalam menekan masyarakat penjaja dan peniaga kecil.

Pemberian insentif atau diskaun khas barangan untuk golongan tersebut juga antara harapan yang disuarakan, sementara krisis global kembali pulih.

Risiko gulung tikar

Golongan penjaja dan peniaga kecil tidak boleh dibiarkan terhimpit sehingga terpaksa menghentikan operasi susulan peningkatan kos modal akibat krisis minyak global yang berterusan.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, tekanan kos yang semakin meningkat ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan kecil, malah berisiko mengganggu keseluruhan kitaran ekonomi negara.

Golongan penjaja antara kumpulan yang menerima kesan kenaikan harga barang apabila terpaksa menanggung kos modal yang meningkat susulan krisis Selat Hormuz yang memberi tekanan kepada peningkatan harga minyak mentah dan rantaiannya.

Golongan penjaja antara kumpulan yang menerima kesan kenaikan harga barang apabila terpaksa menanggung kos modal yang meningkat susulan krisis Selat Hormuz yang memberi tekanan kepada peningkatan harga minyak mentah dan rantaiannya.

“Bukan setakat barang mentah, plastik untuk bungkus makanan pun naik. Semua ini menambah beban kepada peniaga kecil yang margin keuntungan mereka memang sudah nipis, terjejas sehingga 20 peratus.

“Mereka tak boleh nak jual melebihi daripada apa yang dijual sekarang kerana persaingan kalau dia jual harga tinggi dan orang lebih selesa pergi ke restoran mamak. Kalau pelanggan lari, mungkin dah tak datang balik,” katanya.

Beliau turut melihat peningkatan kos modal menyebabkan sebahagian peniaga mula memperlahankan operasi, malah ada yang berisiko menghentikan perniagaan jika keadaan berterusan.

Sedangkan tegas beliau, golongan peniaga kecil memainkan peranan penting sebagai penggerak ekonomi akar umbi, terutama dalam sektor makanan dan peruncitan harian. “Kitaran ekonomi daripada peniaga kecil ini sebenarnya besar. Mereka beli daripada pemborong, bayar pekerja dan menjana perbelanjaan harian masyarakat. Kalau mereka terjejas, kesannya akan merebak ke seluruh rantaian.

“Walaupun nampak kecil, mereka mempunyai kuasa membeli yang besar secara kolektif. Sebagai contoh, 20,000 peniaga aktif di Wilayah Persekutuan dengan purata perbelanjaan RM600 hingga RM700 sehari menyumbang kepada aktiviti ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, golongan penjaja dan peniaga kecil memerlukan sokongan lebih menyeluruh daripada kerajaan bagi memastikan mereka terus mampu beroperasi dalam keadaan kos yang semakin meningkat.

Katanya, antara langkah paling mendesak ialah meningkatkan subsidi diesel kepada sekurang-kurangnya RM500 hingga RM600, berbanding RM400.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan subsidi bagi barangan keperluan asas seperti ayam dan ikan bagi membantu peniaga mengekalkan harga jualan pada kadar yang berpatutan.

Scroll to Top