Indonesia pertimbang cukai kapal di Selat Melaka

Indonesia pertimbang cukai kapal di Selat Melaka
Indonesia pertimbang cukai kapal di Selat Melaka

Indonesia melihat dasar itu berpotensi dilakukan melalui kerjasama serantau melibatkan Malaysia dan Singapura yang turut berkongsi laluan di Selat Melaka.

JAKARTA – Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa mencadangkan idea mengenakan cukai ke atas kapal yang melalui Selat Melaka, mengambil contoh pendekatan yang sedang dipertimbangkan Iran di Selat Hormuz.

Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan memandangkan kedudukan strategik Indonesia dalam laluan perdagangan dan tenaga global, seperti yang sering ditekankan oleh Presiden Prabowo Subianto.

“Seperti arahan Presiden, Indonesia bukan negara pinggiran. Kita berada di laluan strategik perdagangan dan tenaga dunia, tetapi kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan caj. Jadi persoalannya, adakah itu wajar?” katanya ketika berucap pada Simposium Bank Pembangunan Infrastruktur 2026 di Jakarta pada Rabu.

Menurut Purbaya, pelaksanaan dasar itu berpotensi dilakukan melalui kerjasama serantau melibatkan Malaysia dan Singapura yang turut berkongsi laluan perairan tersebut.

“Sekarang Iran mahu mengenakan caj ke atas kapal di Selat Hormuz. Jika kita bahagikan antara Indonesia, Malaysia dan Singapura, hasilnya juga besar. Laluan kita paling luas dan panjang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui cadangan itu tidak mudah dilaksanakan dan memerlukan pertimbangan mendalam, termasuk kerjasama antara negara terlibat.

“Walaupun sebahagian besar laluan berada dalam kawasan Indonesia, realitinya pelaksanaan tidak semudah itu.

“Namun, dengan segala potensi yang ada, kita tidak boleh terus berfikiran defensif, sebaliknya perlu lebih proaktif tetapi tetap terukur,” ujarnya.-Agensi

Scroll to Top