Kemuka butir matan palsu RM8 juta: SPRM tahan dua peguam

Kemuka butir matan palsu RM8 juta: SPRM tahan dua peguam

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Putrajaya: Dua peguam sebuah firma guaman direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan pengeluaran dana pemegang amanah berjumlah kira-kira RM8 juta bagi projek pembangunan hartanah di ibu negara.

Perintah reman sehingga Sabtu ini, dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berumur lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 9.45 malam, semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2023 hingga 2025.

“Wang berjumlah kira-kira RM8 juta iaitu wang amanah yang sepatutnya digunakan bagi penyelenggaraan sebuah bangunan dipercayai masih belum diserahkan kepada pihak pemaju,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top