Bubbles 02 taja Negeri Sembilan

Bubbles 02 taja Negeri Sembilan

SEREMBAN: Pengeluar air mineral semulajadi, Bubbles O2 hari ini diumumkan sebagai rakan penaja baharu pasukan Negeri Sembilan Football Club (NSFC) dalam satu penyerahan cek tajaan yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri di sini.

Kerjasama strategik itu merupakan satu suntikan bermakna bagi menyokong pengurusan dan prestasi skuad “Hobin Jang Hobin” dalam kancah bola sepak tempatan.

Melalui komitmen ini, Bubbles O2 bukan sahaja memberikan sokongan dari segi kewangan, malah turut memastikan keperluan hidrasi pasukan terjaga sepanjang musim latihan dan perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus percaya kerjasama itu mencerminkan kepercayaan sektor korporat terhadap potensi dan hala tuju NSFC.

Beliau berkata, dengan kualiti air mineral beroksigen tinggi daripada Bubbles O2, ia dijangka dapat memberikan sokongan fizikal terbaik kepada para pemain untuk mengekalkan tahap prestasi yang optimum.

“Penyertaan Bubbles O2 sebagai rakan penaja bukan sahaja tentang sumbangan dana tetapi tentang perkongsian visi untuk melihat bola sepak Negeri Sembilan terus bangkit.

“Kami berharap sokongan hidrasi berkualiti ini dapat membantu pemulihan dan kecergasan pemain kami,” katanya pada majlis tersebut.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohd. Zafir Ibrahim, Pengerusi Bubbles O2 Sdn. Bhd., Datuk Arifin Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Abdul Aziz Arifin.

Sementara itu, Abdul Aziz menyatakan bahawa sebagai syarikat yang beroperasi di Rantau, dekat sini, adalah menjadi tanggungjawab sosial syarikat untuk kembali berkhidmat kepada komuniti setempat.

“Hari ini bukan sekadar simbolik penyerahan cek tajaan tetapi komitmen jangka panjang kami dalam menyokong pembangunan sukan khususnya bola sepak di Negeri Sembilan.

“Kami percaya bahawa sukan bukan sahaja menyatukan rakyat tetapi menjadi platform penting dalam membentuk disiplin dan jati diri generasi muda,” ujar beliau.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan di hadapan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri
Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi NSFC,
serta barisan kepimpinan kelab termasuk Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus.

Sementara itu, Arifin memberitahu, jumlah penajaan bernilai RM500,000 dalam bentuk wang dan barangan bagi tempoh tiga tahun.

Namun, katanya, pihaknya bersedia menambah nilai berkenaan jika prestasi pasukan Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dan berada pada tahap tertinggi di pentas liga tempatan.-UTUSAN

Scroll to Top