Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penggantian percuma dokumen penting kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia bagi meringankan beban mereka yang kehilangan segalanya dalam tragedi tersebut.
Bantuan ringankan beban
Menerusi perkongsian di media sosial, beliau menyatakan dokumen yang terlibat termasuk sijil kelahiran, MyKid, MyKad, sijil kematian serta sijil perkahwinan bukan Islam, yang akan diuruskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi perkhidmatan bergerak MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat).
“Wakil jabatan akan ke sini sekitar Kampung Bahagia untuk mendaftar dan kita ada rekod maka tidak ada kebimbangan takut orang yang bukan warganegara mendaftar tidak mungkin sebab daftar kita ada rekodnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Ambil waktu lawat kawasan kebakaran
Terdahulu, Anwar turut meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan PPR Batu Sapi.
Untuk rekod, kebakaran besar yang berlaku awal pagi Ahad lalu di penempatan atas air Kampung Bahagia mengakibatkan kira-kira 9,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas lebih 1,000 rumah musnah dalam kejadian tersebut.
Turut hadir mengiringi beliau ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmud serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim




