Taktik sorok 130kg syabu di ruang tersembunyi kenderaan terbongkar, dua lelaki ditahan

Taktik sorok 130kg syabu di ruang tersembunyi kenderaan terbongkar, dua lelaki ditahan

am@hmetro.com.my

Tawau: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk menyembunyikan lebih 130 kilogram syabu terbongkar dalam satu serbuan di sini, semalam.

Menurut sumber, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau jam 10.30 malam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan jenis Toyota Harrier itu menemukan sejumlah besar paket plastik mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu yang disorok secara sistematik di hampir keseluruhan ruang kenderaan terbabit.

“Antaranya termasuk di bawah tempat duduk penumpang belakang, ruang bonet, sisi dinding kenderaan, pintu serta bahagian konsol tengah,” katanya.

Sumber itu berkata, modus operandi sindiket adalah mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah di ruang tersembunyi kenderaan.

Menurutnya, berdasarkan kuantiti besar rampasan itu siasatan turut menjurus kepada kemungkinan ia didalangi rangkaian sindiket terancang atau kartel antarabangsa bagi tujuan pengedaran.

Sumber berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 128 paket dengan anggaran berat kasar mencecah 130.58 kilogram.

Dalam operasi sama, katanya, dua suspek lelaki tempatan masing-masing berusia 35 dan 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan termasuk mengenal pasti rangkaian sindiket serta sumber dan destinasi bekalan dadah terbabit.

“Turut dirampas dua telefon bimbit dipercayai digunakan untuk urusan berkaitan kegiatan pengedaran dadah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, perintah reman selama tujuh hari sehingga Selasa terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Zamri Saribin untuk siasatan lanjut.

Difahamkan satu sidang akhbar akan dibuat oleh pihak polis dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top