Itali tolak 'tiket politik' ke Piala Dunia

Itali tolak 'tiket politik' ke Piala Dunia

Paris: Itali menafikan spekulasi bahawa skuad kebangsaannya bakal menggantikan Iran di Piala Dunia FIFA, susulan laporan seorang utusan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencadangkan perkara itu kepada FIFA.

Utusan khas Amerika Syarikat, Paolo Zampolli dilaporkan berkata kepada Financial Times bahawa adalah satu “impian” untuk melihat juara dunia empat kali, Itali beraksi di pusingan akhir di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, meskipun pasukan itu tersingkir dalam playoff kelayakan bulan lalu.

Bagaimanapun, Menteri Sukan Itali, Andrea Abodi menegaskan bahawa cadangan untuk membawa semula Itali adalah tidak munasabah.

“Ia tidak mungkin dan juga tidak sesuai, kerana kelayakan perlu ditentukan di atas padang,” katanya menurut agensi berita ANSA dan AGI.

Pandangan itu turut disokong Presiden Jawatankuasa Olimpik Itali, Luciano Buonfiglio.

“Saya akan berasa tersinggung. Tempat ke Piala Dunia perlu diperoleh menerusi aksi di padang,” katanya.

Kedutaan Iran di Rom pula membalas dengan menyatakan cadangan itu menggambarkan “kemuflisan moral” Amerika Syarikat dan menegaskan Itali tidak memerlukan keistimewaan politik untuk membuktikan kehebatan bola sepaknya.

Menurut laporan, idea itu dikatakan usaha merapatkan hubungan antara Trump dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni selepas berlaku ketegangan susulan kritikan Meloni terhadap tindakan Trump berhubung konflik Iran dan Pope Leo XIV.

“Saya sahkan mencadangkan kepada Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino supaya Itali menggantikan Iran di Piala Dunia. Saya rakyat kelahiran Itali dan ia adalah impian untuk melihat Azzurri beraksi di kejohanan dianjurkan Amerika Syarikat. Dengan empat gelaran, mereka memiliki reputasi untuk dipertimbangkan,” kata Zampolli.

Itali yang pernah menjulang Piala Dunia sebanyak empat kali bagaimanapun terlepas peluang ke kejohanan itu buat kali ketiga berturut-turut selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada Bosnia dan Herzegovina dalam aksi playoff kelayakan.

“Kegemilangan bola sepak Itali dibina di atas padang, bukan melalui keistimewaan politik,” kata kedutaan Iran dalam kenyataan di platform X.

“Cubaan menyingkirkan Iran daripada Piala Dunia hanya menunjukkan ‘kemuflisan moral’ Amerika Syarikat yang gentar dengan kehadiran 11 pemain muda Iran di atas padang.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top