Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang sebelum ini memerintahkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad membayar ganti rugi berjumlah RM825,000 selepas didapati memfitnah tiga pemimpin kanan DAP.
Menurut laporan Free Maaysia Today, panel tiga hakim yang dipengerusikan Ahmad Kamal Shahid bersama Evrol Mariette Peters dan Latifah Tahar sebulat suara menolak rayuan dikemukakan oleh ahli parlimen dari parti PAS tersebut.
Foto arkib: Free Malaysia Today
Dalam penghakiman yang dibacakan, mahkamah memutuskan rayuan itu tidak mempunyai asas kukuh sekali gus mengekalkan sepenuhnya keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 4 Disember 2024.
Pada masa sama, panel berkenaan turut menolak rayuan balas yang difailkan oleh tiga pemimpin DAP terbabit berhubung jumlah pampasan yang didakwa tidak mencukupi.
Tiada perintah kos dikenakan terhadap kedua-dua pihak bagi rayuan dan rayuan balas tersebut.

Terdahulu, kes berpunca daripada kenyataan yang dibuat Siti Mastura dalam satu ceramah politik di Kemaman, Terengganu pada 4 November 2023, yang mengaitkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng melalui dakwaan hubungan kekeluargaan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah memutuskan ketiga-tiga plaintif berjaya dalam saman tersebut, dengan Lim Kit Siang diberikan RM300,000, Lim Guan Eng RM250,000 dan Teresa Kok sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi.
Selain itu, Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon turut mengarahkan Siti Mastura membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif bersama faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman.
Sumber: Free Malaysia Today (Faisal Asyraf)



