am@hmetro.com.my
Bachok: Polis menahan seorang wanita tempatan selepas disyaki membakar sampah sehingga mendatangkan kerosakan awam, petang semalam.
Wanita berkenaan ditahan jam 4.30 petang selepas polis menerima aduan kebakaran membabitkan kawasan semak dan sebuah kenderaan terbengkalai di Lot 43, Jalan Pantai Perkasa di sini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pengadu dimaklumkan orang awam kawasan semak dan rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai terbakar dan api marak sehingga merebak berhampiran rumah pengadu.
Katanya, bagaimanapun kebakaran berjaya dipadamkan orang awam.
“Siasatan lanjut mendapati terdapat kesan pembakaran sampah di atas tanah milik seorang wanita tempatan yang terletak bersebelahan tempat kejadian.
“Berdasarkan keterangan saksi, suspek dilihat melakukan aktiviti pembakaran sampah di kawasan itu sekitar jam 11.30 pagi, hari kejadian,” katanya.
Beliau berkata, seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah bakar sehingga membahayakan harta benda.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan kerana boleh mengundang risiko kebakaran serta tindakan undang-undang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



