Kembung undang ajal

Kembung undang ajal

asyikin.mat@hmetro.com.my

SEORANG ibu yang dahulunya aktif, kini hanya mampu terlantar di katil selepas serangan angin ahmar.

Selain perlu diurus sepenuhnya oleh anak, makan dan minumnya hanya melalui tiub di hidung.

Tiba-tiba, ibu ini tidak lagi mampu menerima susu seperti biasa, seterusnya membuatkan perutnya kembung, tiada kentut dan tidak selesa.

Hasil pemeriksaan mendapati, dia mengalami keadaan yang dipanggil ‘volvulus usus sigmoid’.

Felo Kolorektal, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Muhammad Irfan Mohamad Salmi berkata, volvulus usus sigmoid ialah satu situasi yang mana usus besar berpintal sehingga menyebabkannya tersumbat.

Menurutnya, keadaan ini mungkin jarang kedengaran, tetapi sebenarnya boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

“Apabila usus berpintal, aliran darah ke bahagian ini akan terganggu. Jika berlarutan, usus boleh mati dan seterusnya pecah.

“Apabila ini berlaku, jangkitan serius dalam perut boleh terjadi dan ia membahayakan nyawa pesakit,” katanya.

Beliau berkata, rawatan awal biasanya dilakukan tanpa pembedahan, iaitu melalui prosedur endoskopi.

“Doktor akan memasukkan kamera melalui dubur untuk melepaskan pintalan ini. Kaedah itu sangat berkesan dan berjaya dalam kebanyakan kes.

“Masalah utama bukan sekadar merawat serangan pertama, tetapi mengelakkan ia berulang.

“Tanpa rawatan susulan, hampir 90 peratus pesakit akan mengalami volvulus sekali lagi. Lebih membimbangkan, serangan berulang ini selalunya lebih sukar dirawat,” katanya.

Jelas Dr Muhammad Irfan, ada pesakit memerlukan pembedahan kecemasan dan jika lewat mendapatkan rawatan, risiko kematian boleh meningkat dengan ketara.

“Rawatan standard untuk mencegah keadaan ini berulang ialah dengan membuang bahagian usus yang bermasalah melalui pembedahan.

“Namun, tidak semua pesakit sesuai menjalani pembedahan besar, terutamanya warga emas yang tidak cukup sihat atau mempunyai pelbagai penyakit lain.

“Dalam situasi inilah satu kaedah alternatif iaitu ‘percutaneous endoscopic colostomy’ (PEC) boleh dipertimbangkan, walaupun masih kurang dipraktikan,” katanya.

Tambahnya, prosedur ini dilakukan dengan bantuan endoskopi, yang mana tiub khas dimasukkan ke dalam usus melalui dinding abdomen.

“Tujuannya adalah untuk melekatkan usus ini supaya tidak mudah berpintal semula.

“Walaupun tidak sebaik pembedahan membuang usus, kaedah ini terbukti mampu mengurangkan risiko berulang dengan ketara.

“Sekali gus memberi peluang hidup lebih baik kepada pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan,” katanya.

Dr Muhammad Irfan berkata, malangnya, prosedur ini masih jarang dilakukan di kebanyakan hospital kerana memerlukan kepakaran khusus serta pengalaman yang mencukupi.

“Akibatnya, ramai pesakit akhirnya menjalani pembedahan membuat stoma yang mana najis dikeluarkan melalui beg di perut.

“Bagi sesetengah pesakit dan keluarga, stoma bukan sahaja memberi kesan fizikal, tetapi juga emosi serta sosial.

“Penjagaan harian menjadi lebih mencabar, terutama bagi penjaga yang sudah sedia terbeban,” katanya.

Beliau berkata, biarpun amalan menjaga orang sakit dan warga emas dianggap amanah besar serta setiap kesusahan dihadapi dalam menjaga mereka tidak pernah sia-sia di sisi Allah SWT.

“Namun usaha mendapatkan rawatan terbaik sebahagian daripada tanggungjawab kita.

“Justeru, bagi mereka mempunyai ahli keluarga dengan masalah kembung perut berpanjangan, sembelit teruk atau tanda sumbatan usus, jangan ambil mudah. Dapatkan pemeriksaan segera.

“Lebih penting, bincang dengan doktor mengenai pilihan rawatan yang ada, termasuk alternatif seperti PEC bagi pesakit tidak sesuai menjalani pembedahan,” katanya.

Kata Dr Muhammad Irfan, ada kalanya, penyakit yang kelihatan kecil seperti ‘angin dalam perut’ boleh menjadi petanda kepada sesuatu jauh lebih serius.

Menurutnya, dalam keadaan tertentu, tindakan yang cepat bukan sahaja menyelamatkan usus, malah menyelamatkan nyawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top