Traktor terbalik ke dalam kolam, pemandu maut

Traktor terbalik ke dalam kolam, pemandu maut

Kuantan: Seorang pemandu traktor maut selepas jentera dipandunya hilang kawalan, sebelum terbalik ke dalam kolam di sebuah kilang sawit di Kampung Tersang, Raub, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang membabitkan mangsa, Mohamad Syariffudin Jemain, 37, kira-kira 10 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang melakukan pergerakan mengundur, jentera itu hilang kawalan sebelum terbalik dan masuk ke kolam berhampiran.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu itu dipercayai telah tersepit dan lemas, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Hospital Raub,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap Mohamad Syariffudin akan dilakukan pada 10 pagi hari ini di unit forensik Hospital Raub dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.11 malam.

Beliau berkata, semasa sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub tiba di lokasi kejadian pada 9.38 malam, mangsa sudah dikeluarkan pekerja kilang berkenaan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top