redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Percutian Mohd Jamri Herry, 40, dan isterinya ke Ho Chi Minh, Vietnam berakhir duka apabila pasangannya itu diserang sawan dan kini masih koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nhan Dan Gia Dinh, di sana.
Mohd Jamri dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, isterinya, Rohana Joseph, 34, dimasukkan ke hospital berkenaan akibat diserang sawan sebelum solat Subuh kira-kira jam 4 pagi, Selasa lalu iaitu pada hari mereka sepatutnya berangkat pulang ke tanah air.
Menurut Mohd Jamri, sehingga kini, Rohana belum sedarkan diri tetapi dalam keadaan stabil.
Bagaimanapun, Mohd Jamri mahu isterinya dibawa pulang ke tanah air kerana bimbang tidak mampu membayar bil hospital di Vietnam memandangkan dia sudah kehabisan wang simpanan.
“Saya dan isteri ke Vietnam untuk bercuti bermula 16 hingga 21 April lalu. Ikutkan ia adalah trip percutian isteri dan rakannya, tetapi dia ajak saya ikut bersama.
“Sepanjang tempoh percutian, isteri sihat dan tak tunjukkan tanda akan sakit atau mengadu sakit kepala. Namun, dia diserang sawan pada hari kami nak balik ke Malaysia. Sepatutnya nak bertolak ke lapangan terbang jam 8 pagi kerana tiket penerbangan jam 1 tengah hari, tapi tak jadi pulang kerana isteri dimasukkan ke hospital.
“Mungkin Allah SWT sudah takdirkan saya ikut sama untuk ada dengan isteri waktu dia memerlukan,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Mohd Jamri yang bekerja di Majlis Sukan Negeri Sabah berkata, buat masa ini, dia masih berada di hospital tetapi hanya dibenarkan melawat isteri sekali sehari.
Menurut Mohd Jamri, dua anaknya yang berusia empat dan tujuh tahun kini di bawah jagaan keluarganya dan mentua.
“Saya tak boleh menemani isteri setiap masa kerana waktu melawat jam 6 petang hingga 7 malam saja. Itu pun kena masuk wad macam biasa tapi kena pakai pelitup muka. Berat ujian ini tapi saya kena kuatkan mental dan cuba untuk reda.
“Buat masa ini, saya tiada maklumat berapa jumpa bil hospital perlu dibayar kerana hanya akan tahu selepas dibenarkan keluar nanti. Namun, semakin lama di sini, bil akan lebih tinggi memandangkan isteri bukan orang tempatan,” katanya.
Mohd Jamri berkata, pihak hospital tiada halangan untuk membenarkan isterinya dibawa pulang ke tanah air.
“Cuma saya sebagai suami dan waris terdekat kena tanggung risikonya. Saya sedia dengan segala kemungkinan asalkan isteri dibawa pulang ke tanah air bagi meneruskan rawatan di sana. Minta jasa baik orang ramai untuk mendoakan isteri saya supaya kembali sembuh,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7079522163 atas nama Mohd Jamri Herry.
© New Straits Times Press (M) Bhd



