Pesawat bawa RM19.8 juta terhempas, penduduk serbu kutip wang

Pesawat bawa RM19.8 juta terhempas, penduduk serbu kutip wang
Pesawat bawa RM19.8 juta terhempas, penduduk serbu kutip wang

Sebuah pesawat yang membawa wang tunai AS$5 juta (RM19.8 juta) dilaporkan terhempas di Paraguay, mengakibatkan seorang juruterbang maut manakala beberapa individu lain cedera.

ASUNCIÓN – Sebuah pesawat yang membawa wang tunai AS$5 juta (RM19.8 juta) dilaporkan terhempas di Paraguay, mengakibatkan seorang juruterbang maut manakala beberapa individu lain cedera, menurut laporan akhbar The Irish Sun.

Pesawat jenis Cessna 402 itu membawa wang milik syarikat keselamatan, Prosegur. Ia dalam perjalanan dari Ciudad del Este ke Asunción sebelum terhempas sejurus selepas berlepas.

Penduduk tempatan dipercayai mengambil sebahagian wang yang bertaburan ketika bangkai pesawat masih terbakar di bandar Minga Guazú.

Menurut penyiasat, kira-kira AS$1.3 juta (RM5.1 juta) dan R$4 juta (RM3.1 juta) masih belum ditemui dan dipercayai telah dilarikan oleh orang awam yang tiba di lokasi nahas sebaik kejadian berlaku.

Polis memaklumkan bahawa sekitar 50 individu dipercayai terlibat dalam kecurian tersebut.

Laporan turut menyatakan wang kertas berkenaan dilarikan dalam tempoh kira-kira 15 minit, iaitu antara waktu nahas berlaku dan ketibaan pasukan kecemasan.

Juruterbang yang dikenali sebagai Fernando Noldin disahkan maut, manakala pembantunya serta dua penumpang lain mengalami kecederaan.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca nahas serta mengesan wang yang masih hilang. – AGENSI

Scroll to Top